Maya Karin belajar tarian tanggo demi filem ‘The Experts’

Pelakon dan Penyanyi Maya Karin memberi pos istimewa untuk peminat setia semasa menghadiri Majlis Tayangan Gala Filem ‘The Experts' di TGV Sunway Velocity, Kuala Lumpur malam tadi. Foto Bernama
Pelakon dan Penyanyi Maya Karin memberi pos istimewa untuk peminat setia semasa menghadiri Majlis Tayangan Gala Filem ‘The Experts' di TGV Sunway Velocity, Kuala Lumpur malam tadi. Foto Bernama
A
A
A

WALAUPUN babak tarian Tango hanya muncul sekitar lima minit dalam filem ‘The Experts’, penyanyi dan pelakon, Maya Karin memberi sepenuh komitmen agar dapat menyempurnakan gerak tarian yang terkenal di Amerika Latin itu.

Maya yang memegang watak antagonis bernama Miranda, anggota mafia yang berselindung di sebalik kerjaya sebagai seorang pengurus hotel, menyifatkan babak tersebut sebagai paling mencabar dalam penampilannya bagi filem berdurasi 121 minit itu.

Meskipun tiada asas tarian, aktres ini berjaya menguasai tarian latin yang memerlukan gerakan dansa lincah ini selepas berlatih selama enam minggu bersama Remy Ishak, yang turut berlakon dalam filem tersebut.

"Saya sangat terkejut dengan bakat Remy dan saya juga kagum dengan chemistry (keserasian) yang kami cipta. Saya sangat suka babak itu walaupun ia hanya sekejap.

"Saya perlu hadir ke kelas tarian tiga hingga empat kali seminggu serta perlu mengingat koreografi yang adakalanya ditukar pada saat-saat akhir,” katanya kepada Bernama.

Maya yang namanya melonjak selepas membintangi filem ‘Pontianak Harum Sundal Malam’ itu berkata, babak tarian tango mengambil masa selama dua hari untuk disiapkan, selain memerlukan enam kamera bagi mendapatkan pelbagai sudut terbaik.

Maya yang nama sebenarnya Maya Karin Roelcke dan sebelum ini pernah muncul dalam babak tarian ‘Ballroom’ bersama pelakon Redza Minhat menerusi filem ‘Pisau Cukur’ menyifatkan babak kali ini lebih sukar untuk dijayakan.

"Kita tak boleh berlatih hari-hari sebab otot-otot dan belakang semuanya sakit, umpama pergi bersenam di gimnasium hari-hari,” katanya yang berpuas hati dengan hasil filem tersebut.

Artikel Berkaitan:

Filem ‘The Experts’ yang bakal menemui penonton esok (23 Mei), mengisahkan sebuah keluarga terdiri daripada lima beradik yang telah lama meninggalkan kegiatan merompak, namun kembali berkumpul kerana satu ugutan dan arahan daripada gengster paling berbahaya untuk melakukan satu lagi rompakan terbesar yang berisiko tinggi.

Dalam pada itu, mereka turut dibayangi dendam lama daripada tragedi keluarga serta sejarah kejahatan lampau. Bagaimana mereka harus berdepan dengan musuh dan melindungi keluarga? Adakah misi rompakan ini kali terakhir untuk lima beradik ini bersama?

The Experts menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Aaron Aziz sebagai Farid iaitu ketua serta abang sulung, Syafiq Kyle (Keyrol, pakar risikan), Mimi Lana (Emma, pakar manipulasi), Remy Ishak (Amer, pakar penyamaran) serta Ray Dapdap (Lan, pakar godam).

Turut membintangi filem terbitan Astro Shaw dengan kerjasama ZAK Capital dan TGV Pictures itu ialah Maya Karin, Tony Eusoff, Wan Hanafi Su, Jay Iswazir, Douglas Lim dan Michael Ang. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!