Pasar malam kian sepi kerana pindah lokasi

Muhammad Nazri (kanan) membantu bapanya berniaga kuih bebola kaya di pasar malam di Bandar Baru Sentul.
Muhammad Nazri (kanan) membantu bapanya berniaga kuih bebola kaya di pasar malam di Bandar Baru Sentul.
A
A
A

MEREKA berniaga bukan untuk mengumpul kekayaan, namun demi sesuap nasi menyara keluarga dan meneruskan kelangsungan hidup.

Peredaran zaman dan lambakan pilihan dalam talian tanpa sedar menyebabkan perniagaan pasar malam dilihat tidak lagi menjadi pilihan utama pengunjung membeli keperluan.

Menerusi Apa Khabar Rakyat minggu ini, wartawan Sinar Harian, Norafiza Jaafar menyelami keluhan golongan ini yang mendakwa perniagaan mereka kian terjejas akibat terpaksa berpindah dari lokasi asal.

Jika dahulu pasar malam menjadi aktiviti hujung minggu keluarga membeli makanan selain keperluan dapur, namun keadaannya kini kian suram seiring peredaran zaman.

Ia turut didorong kepesatan pembangunan di ibu negara menyebabkan peniaga terpaksa beralah ke tapak baharu bagi memberi laluan kepada projek kapitalis.

Walaupun menyediakan 900 lot niaga, suasana pasar malam di Jalan Rejang kian suram.
Walaupun menyediakan 900 lot niaga, suasana pasar malam di Jalan Rejang kian suram.

Situasi tersebut menimpa 300 peniaga pasar malam di AU2 Keramat, baru-baru ini, apabila terpaksa berpindah lokasi ke Jalan Rejang atas nama pembangunan.

Peniaga nasi kerabu, Ismadi Mohd Zin, 55, mengeluh tetapi tetap akur dengan arahan dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sedikit sebanyak menjejaskan periuk nasinya dan penjaja pasar malam lain.

Artikel Berkaitan:

Ia disebabkan persaingan di lokasi baharu yang mencecah 900 tapak dengan tujuh daripadanya menjual makanan sama sepertinya.

“Kalau di tapak lama peniaga nasi kerabu hanya dua orang, jadi hasil jualan boleh mencecah empat angka tetapi persaingan di lokasi baharu menyebabkan pendapatan merosot lebih 80 peratus.

“Bagi mengelak terus menanggung kerugian, saya terpaksa mengurangkan kuantiti jualan bagi mengelak pembaziran,” katanya.

Ujarnya, tiada apa yang boleh dilakukan selain akur tidak diberikan alternatif lain dalam penyelesaian isu pemindahan peniaga asal.

“Jika tidak pindah tidak boleh berniaga di kawasan lama memandangkan operasi pasar malam di sana sudah ditutup sepenuhnya.

“Dalam tempoh dua bulan ini masih cuba membiasakan diri lagi dan jika pendapatan terus menurun, saya terpaksa berhenti berniaga kerana tidak mahu terbeban dengan kos modal selain faktor pengangkutan dan jarak,” katanya.

Sementara itu, peniaga pasar malam Bandar Baru Sentul, Asri Ibrahim, 65, berkata pernah mengalami situasi sama apabila berpindah sebanyak tiga kali susulan tapak niaga mahu dibangunkan dengan projek pembangunan.

Katanya, keadaan itu tidak dapat dielak susulan tapak niaga diduduki bukan berstatus kekal menyebabkan terpaksa berpindah.

“Untuk bermula di tapak baru memang 'sakit' dan mengambil masa satu ke dua tahun sebelum stabil tetapi sambutannya tetap tidak sama seperti dulu.

“Ia menyebabkan ada peniaga tidak dapat bertahan dan mula angkat kaki. Selain itu, tapak pasar malam juga kian berkurangan dari tahun ke tahun ekoran peredaran zaman,” katanya.

Bagaimanapun, dia yang sudah 20 tahun menceburi dunia pasar malam mengakui akan terus bertahan selagi ada permintaan.

“Jika makanan kita sedap dan harga berpatutan, saya yakin orang akan cari walaupun berpindah ke tempat baharu.

“Cuma akan ambil masa untuk menarik pelanggan dan ketika itu kita kena sabar dan bertahan dengan keuntungan sedikit,” katanya yang menjual cendol.

Seorang lagi peniaga, Muhammad Nazri Mohamad Ibrahim, 23, mengambil keputusan meninggalkan pekerjaan makan gaji untuk menumpukan perhatian membantu bapanya berniaga di pasar malam.

“Walaupun pendapatan tidak menentu tetapi saya sahut cabaran berniaga bagi meneruskan perniagaan bebola kaya diusahakan keluarga.

“Saya tak kisah berpanas dan penat namun jika rajin berniaga setiap hari, pendapatan cukup untuk tampung keluarga,” katanya yang berniaga lima hari seminggu di pasar malam berbeza.

Katanya, bagi memastikan perniagaan pasar malam kekal relevan, pihak berkuasa perlu memberi tapak kekal supaya tidak perlu berpindah setiap kali projek pembangunan mahu dilaksanakan.

BANTU PENIAGA KEKALKAN TRADISI, KEUNIKAN PASAR MALAM

Sementara itu, Persatuan Cakna Wilayah Kuala Lumpur berharap permasalahan peniaga pasar malam sekitar ibu kota perlu diberi perhatian secara adil dan saksama seperti penyumbang ekonomi lain.

Dalam isu pemindahan tapak pasar malam AU2 Keramat, setiausahanya, Farah Azila Mohamad Sukri berkata, peniaga tidak diberikan banyak pilihan selain mendakwa keputusan dibuat lebih memihak kepada pihak lain.

Farah Azila
Farah Azila

“Sedih apabila pasar malam AU2 Keramat yang beroperasi lebih 30 tahun ditutup kerana memberi laluan kepada pembangunan.

“Bagaimanapun, apa yang dapat dilihat sekarang, kawasan itu digunakan pula peniaga harian sedangkan peniaga pasar malam yang menggunakan tapak itu seminggu sekali diarahkan berpindah.

“Tidak mudah untuk menarik orang ramai ke pasar malam seperti AU2 Keramat walaupun sudah membuat rayuan, namun ditolak,” katanya.

Katanya, tekanan pembangunan selain arahan pemindahan bukan hanya menjejaskan periuk nasi peniaga, malah menyebabkan suasana pasar malam kian suram.

“Isu pemindahan peniaga ini pernah berlaku di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) yang kesannya dirasai hingga kini. Walaupun pengunjung ramai tetapi pendapatan peniaga tidak sama seperti dahulu.

“Saya harap pihak DBKL bersama-sama membantu memastikan pasar malam menjadi sebahagian tradisi yang perlu dipertahankan.

“Jangan terlalu mengejar kepesatan pembangunan tetapi nilai tradisi lama dilupakan. Ia perlu seiring dan dikekalkan sebagai sebahagian identiti negara kita,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!