Bermula di pasar malam, kini Dhia Cotton ada 22 cawangan

Wisma Dhia Cotton tersergam indah di Alor Setar, Kedah.
Wisma Dhia Cotton tersergam indah di Alor Setar, Kedah.
A
A
A

TIADA siapa menyangka perniagaan kain pasang dan baju kurung yang bermula di pasar malam 11 tahun lalu akhirnya berkembang sehingga nama Dhia Cotton dikenali dalam kalangan peminat baju kain kapas di negara ini.

Jenama Dhia Cotton ini diterajui oleh pasangan suami isteri, Mohd Hidayat Mohamad, 35, dan Siti Murni Abdullah, 35, yang cekal membangunkan perniagaan itu bersama-sama sejak di awal perkahwinan mereka.

Mohd Hidayat berkata, ketika memulakan perniagaan itu dia masih lagi belajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) manakala isterinya ketika itu sudah tamat belajar di Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Walaupun saya terpaksa bahagi masa antara belajar, berniaga dan tugas sebagai seorang suami tetapi saya cuba sebaik mungkin.

“Isteri saya pun banyak berkorban kadang-kadang dia terpaksa buat persediaan di tapak niaga seorang diri sementara tunggu saya habis kelas,” katanya ketika ditemui di Wisma Dhia Cotton di Alor Setar, Kedah.

Menurutnya, untuk berada di tahap sekarang dalam perniagaan bukan sesuatu yang mudah jika mereka tidak saling menyokong dan mempunyai azam yang tinggi.

”Kami bermula dengan modal RM3,000 sahaja dan pergi ke Vietnam untuk mencari baju di sana. Kalau orang yang banyak modal mungkin boleh ambil secara pukal, namun saya dan isteri terpaksa masuk ke setiap kedai untuk mencari baju yang ditawar dengan harga lebih murah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bermula di pasar malam, Mohd Hidayat dan isterinya, Siti Murni kini mempunyai sebanyak 22 cawangan Dhia Cotton.
Bermula di pasar malam, Mohd Hidayat dan isterinya, Siti Murni kini mempunyai sebanyak 22 cawangan Dhia Cotton.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, sebaik memperoleh untung daripada jualan terbabit, mereka tidak terlalu cepat berasa selesa kerana sedar itu baru permulaan.

“Kami sangat berdisiplin tentang kewangan, tak ada ganjaran kepada diri sendiri, melancong atau membeli-belah. Saya katakan pada isteri, di awal ini biar kita susah dulu insya-ALLAH ke depan nanti ada rezeki lebih kita pergi melancong.

“Syukur isteri memahami, malah setiap hari selepas pulang daripada berniaga pun dia sanggup memasak berbanding makan di luar semata-mata untuk berjimat,” katanya.

Ujarnya, selepas tiga tahun berniaga di pasar malam, mereka cuba memberanikan diri menyewa sebuah lot kedai di Aman Central di sini.

“Itu pun kami ambil lot kedai yang paling belakang sebab lebih murah, namun syukur walaupun agak tersorok tetapi pelanggan tetap mencari kami.

“Bermula dari situ kami tidak menoleh ke belakang lagi, dan akhirnya sehingga kini jenama Dhia Cotton telah mempunyai 22 cawangan di negeri-negeri Semenanjung Malaysia," katanya.

Mohd Hidayat berkata, dia bersyukur kerana kesusahan yang dialami oleh mereka suami isteri dahulu memberi pengalaman yang cukup berharga.

“Kesengsaraan dan kesusahan yang kami alami dulu adalah nikmat ALLAH SWT yang paling besar, kalau kami tak lalui semua itu mungkin kami tak mampu berada seperti sekarang.

“Sekarang ini kalau ada sikitsikit dugaan yang datang pun Insya-ALLAH kami dapat lalui, sebab ujian yang kami terima di awal dahulu lebih besar, setidak- tidaknya ia telah mematangkan kami,” katanya yang menerima Top 500 Consumer Certification Trusty Brand Award pada tahun 2022.

Mohd Hidayat dan Siti Murni sedang menyusun stok baju yang baru tiba di gudang mereka di Wisma Dhia Cotton.
Mohd Hidayat dan Siti Murni sedang menyusun stok baju yang baru tiba di gudang mereka di Wisma Dhia Cotton.

Mohd Hidayat berkata, hasil perniagaan yang mereka ada sekarang adalah pinjaman dan keizinan ALLAH SWT.

Sementara itu bercerita mengenai perkembangan terbaru syarikat berkenaan, Siti Murni berkata, sempena musim perayaan yang akan tiba, mereka akan mengeluarkan 170 corak terbaharu bagi kain jenis kapas dan ironless.

“Kita sudah bermula pengeluaran terbabit pada bulan ini dan ia termasuk untuk sedondon satu keluarga.

“Insya-ALLAH kualiti kain kami sangat bagus, selesa, tak panas, tak jarang dan ada pilihan saiz sehingga 10XL bagi jenis ironless.

“Harga juga kami masih kekalkan sama seperti 11 tahun lalu, iaitu baju dewasa bermula daripada RM65 manakala kanakkanak bermula RM45,” katanya.


Baju raya sedondon juga boleh didapati di Dhia Cotton dengan harga mampu beli.
Baju raya sedondon juga boleh didapati di Dhia Cotton dengan harga mampu beli.

Menurut Siti Murni, mereka sangat mengutamakan kualiti berbanding keuntungan kerana sedar untuk terus bertahan dalam sesuatu perniagaan itu haruslah menawarkan barangan yang berkualiti.

“Sebab itu baju kami sering menjadi pilihan syarikat dan sekolah-sekolah yang membeli secara pukal, tambahan pula kain cotton ini sesuai untuk apa-apa majlis sekalipun,” katanya.