Bimbang dipersalahkan punca kanak-kanak mangsa seksual kunci mulut

Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Khuatir dengan tindak balas masyarakat sekeliling menjadi faktor kanak-kanak mangsa penderaan seksual terutamanya oleh ahli keluarga sendiri bertindak mengunci mulut.

Pakar kriminologi dari Management and Science University (MSU), Nadiah Syariani Md Shariff berkata, kanak-kanak berasa takut sekiranya orang tidak percaya atau lebih teruk dipersalahkan oleh ahli keluarga atas perkara yang terjadi.

“Dalam keadaan ini, kanak-kanak bimbang dengan respons orang ramai lebih-lebih lagi ahli keluarga sendiri kerana pelaku adalah orang kepercayaan keluarga.

“Selain itu, ugutan oleh pelaku sama ada untuk mencederakan kanak-kanak berkenaan atau orang tersayang juga menyebabkan mereka lebih memilih untuk mendiamkan diri sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Nadiah Syariani, tindakan pelaku yang memanipulasi kepercayaan golongan itu dengan memberi hadiah atau ganjaran atas ‘kelakuan baik’ turut mendorong mangsa tidak memberitahu kepada orang lain.

Menurutnya, jenayah berkenaan menjadi lebih sukar dikesan apabila ahli keluarga lain yang mengetahui perkara terkutuk itu turut bertindak menutup mulut dan seolah-olah membenarkan ia terjadi.

“Situasi ini lebih banyak membabitkan ahli keluarga lain yang risau mereka hilang tempat untuk bergantung terutamanya jika pelaku ditangkap kerana dia merupakan orang yang mencari nafkah untuk keluarga.

“Rasa malu dan stigma masyarakat yang memandang serong juga menjadi salah satu faktor mereka menutup mulut.

Artikel Berkaitan:

“Malah, dalam sesetengah kes, jenayah seksual ini adalah rentetan keganasan rumah tangga di mana ahli keluarga lain juga menjadi mangsa penderaan domestik,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nadiah Syariani berkata, Seksyen 19 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 telah memperuntukkan tanggungjawab mandatori untuk melaporkan jenayah berkenaan.

Ujar beliau, ahli keluarga, jiran tetangga, guru atau mana-mana individu yang mengetahui kejadian berkenaan tetapi tidak melaporkan kepada pihak berkuasa boleh disabit kesalahan di bawah akta tersebut.

“Ini sangat menyedihkan apabila memikirkan anak-anak tidak selamat walaupun berada dalam rumah dengan ahli keluarga sendiri,” katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!