X

Kindly register in order to view this article
!

E-Tunai Rakyat langkah positif, penting untuk ekonomi digital negara

Gobind - Foto fail Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Program e-Tunai Rakyat yang merupakan satu inisiatif menggalakkan budaya digital dan peralihan kepada masyarakat tanpa tunai telah menerima sambutan yang baik daripada rakyat sejak dilancarkan pada 15 Januari 2020.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, agihan yang dibuat melalui platform ketiga-tiga pengendali e-dompet iaitu Boost, GrabPay dan Touch 'n Go eWallet itu merupakan langkah positif dan penting bertujuan meningkatkan kuasa beli rakyat demi merangsangkan perbelanjaan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi.

“Ia juga merupakan inisiatif bagi menggalakkan budaya digital dan peralihan kepada masyarakat tanpa tunai,” katanya.

Gobind berkata, inisiatif itu juga sekali gus mempercepatkan penggunaan e-dompet dalam masyarakat dan kalangan peniaga, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk runcit.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat belanja RM10 juta e-Tunai pada hari pertama, kata Guan Eng

Pengguna kecewa gagal tebus e-Tunai Rakyat

E-Tunai: Kerajaan kaji bayaran terus ke akaun

Tegasnya, ekonomi digital yang mampan dan rancak akan menarik pelaburan yang lebih berkualiti dan menjana pekerjaan bernilai tinggi supaya jurang pendapatan dapat dirapatkan dan ini katanya, penting untuk mencapai potensi pertumbuhan ekonomi negara.

Dianggarkan sebanyak 15 juta rakyat Malaysia layak menuntut wang RM30 pemberian kerajaan daripada mana-mana tiga pengendali e-dompet tersebut bermula Khamis lalu sehingga 14 Mac.

Di bawah program itu, warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas termasuk yang memperoleh pendapatan kurang daripada RM100,000 setahun, layak menerima RM30 dalam bentuk e-kredit melalui mana-mana aplikasi e-dompet yang terlibat.

Gobind berkata, inisiatif itu adalah salah satu projek di bawah peruntukan RM50.3 bilion yang disediakan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi tempoh lima tahun, untuk mentransformasikan Malaysia kepada negara keusahawanan melalui pembangunan ekonomi digital.

Selain inisiatif itu, pelbagai skim bantuan untuk meringankan beban rakyat telah dilaksanakan termasuk Bantuan Sara Hidup (BSH), MySalam, PeKa B40, Pas Bulanan Pengangkutan Awam RapidKL, Bantuan Awal Persekolahan, i-Suri dan inisiatif 'Double the Speed, Half the Price' yang melibatkan penurunan harga dan peningkatan kelajuan jalur lebar tetap.

Kesemua inisiatif ini adalah selari dengan iltizam Kerajaan Pakatan Harapan di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama yang bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif untuk semua lapisan masyarakat, katanya.

Beliau berkata, untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut atau bagi sebarang pertanyaan, rakyat boleh melayari laman-laman web pengendali e-dompet iaitu Boost https://www.myboost.com.my/rm30etunairakyat/ atau https://support.myboost.com.my/hc/en-us/sections/900000011783-E-Tunai-Rakyat-2020; Grab https://www.grab.com/my/campaign/etunai-rakyat/ atau https://help.grab.com/passenger/en-my/360036177691-e-Tunai-Rakyat; Touch ’n Go https://www.tngdigital.com.my/etunairakyat atau https://support.tngdigital.com.my/hc/en-my/sections/360006435834-e-Tunai-Rakyat. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus