Tiada cadangan lanjut tempoh daftar e-Tunai Rakyat

Guan Eng (tiga dari kanan) ketika meninjau Village Food Court di AEON Kinta City sempena pelancaran Inisiatif e-Tunai Rakyat hari ini.
Guan Eng (tiga dari kanan) ketika meninjau Village Food Court di AEON Kinta City sempena pelancaran Inisiatif e-Tunai Rakyat hari ini.
A
A
A

IPOH - Kerajaan tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh permohonan program e-Tunai Rakyat yang bakal berakhir 9 Mac depan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, tempoh dua bulan bermula 15 Januari yang diberikan bagi tuntutan wang RM30 itu sudah memadai untuk semua rakyat Malaysia berkelayakan mengemukakan permohonan.

"Setakat ini kita tidak ada cadangan untuk lanjutkan kerana tempoh kempen dua bulan yang kita berikan itu adalah lama.

"Orang ramai boleh mendaftar sehingga hari terakhir pada 9 Mac depan. Bagaimanapun wang yang dituntut itu boleh dibelanjakan sehingga akhir kempen pada 14 Mac," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran Inisiatif e-Tunai Rakyat di AEON Kinta City di sini hari ini.

Beliau berkata, sejak dilancarkan Selasa lalu, sebanyak 2.6 juta permohonan program e-Tunai Rakyat telah diterima.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak dua juta permohonan telah diluluskan membabitkan perbelanjaan RM59 juta iaitu kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan RM450 juta yang diperuntukkan kerajaan.

"Sebenarnya kerajaan sama sekali tak jangka program ini mendapat sambutan luar jangkaan.

"Jika kita berjaya capai sasaran 15 juta permohonan bermakna semua rakyat berkelayakan berusia 18 tahun ke atas dan yang berpendapatan kurang RM100,000 setahun telah mendapat manfaat melalui program ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: E-Tunai: Kerajaan kaji bayaran terus ke akaun

Program e-Tunai Rakyat dilancarkan Selasa lalu bagi membolehkan rakyat Malaysia berkelayakan menuntut RM30 melalui tiga pengendali e-dompet iaitu Grab, Boost dan Touch ‘n Go.

Inisiatif itu diumumkan kerajaan pada pembentangan Belanjawan 2020, Oktober tahun lalu yang menyediakan peruntukan RM450 juta bagi menggalakkan budaya digital dan peralihan masyarakat tanpa tunai.