Azizulhasni ketepi saingan Ridwan, juarai acara pecut di Nilai

Azizulhasni meraikan kemenangan acara Men Elite Sprint pada Kejohanan Trek Kebangsaan 2024 di Velodrom Nasional Nilai, pada Selasa. Foto Bernama
Azizulhasni meraikan kemenangan acara Men Elite Sprint pada Kejohanan Trek Kebangsaan 2024 di Velodrom Nasional Nilai, pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang tidak berdepan masalah menjuarai acara pecut lelaki elit pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2024 di Velodrom Nasional Nilai di sini, pada Selasa.

Biarpun menerima tentangan sengit daripada pelumba Johor, Muhammad Ridwan Sahrom, namun Azizulhasni yang mewakili Terengganu tetap berjaya melintasi garisan penamat untuk merangkul emas.

Pemenang pingat Sukan Olimpik dua kali itu yang turut diberi julukan ‘The Pocket Rocketman’ mengakui kagum dengan kayuhan bertenaga Muhammad Ridwan selepas lawannya memberi cabaran hebat pada aksi final.

"Saya lihat Ridwan telah banyak meningkat. Sebenarnya, saya tidak sepatut berlumba selepas saingan sukar di Piala Trek Jepun II di Shizouka minggu lepas.

"Namun saya perlu beberapa perlumbaan kerana jika tidak saya tidak dapat latihan, perlu tunggu pertandingan habis dahulu baru boleh berlatih di sebelah malam. Jadi saya hanya menyertai sebagai sebahagian sesi latihan (menjelang Sukan Olimpik 2024),” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas perlumbaan.

Azizulhasni (kiri) menewaskan Muhammad Ridwan (kanan) bagi acara Men Elite Sprint pada Kejohanan Trek Kebangsaan 2024 di Velodrom Nasional Nilai pada Selasa. Foto Bernama
Azizulhasni (kiri) menewaskan Muhammad Ridwan (kanan) bagi acara Men Elite Sprint pada Kejohanan Trek Kebangsaan 2024 di Velodrom Nasional Nilai pada Selasa. Foto Bernama

Dalam pada itu, abang Ridwan, Muhammad Shah Firdaus pula mendominasi perlumbaan penentuan gangsa untuk mengecewakan Muhammad Fadhil Mohd Zonis.

Terdahulu, Azizulhasni mara ke final dengan menewaskan Muhammad Shah Firdaus manakala Ridwan pula mengatasi Muhammad Fadhil di peringkat separuh akhir.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bintang meningkat naik, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri memenangi emas untuk Kedah dengan menafikan saingan dari wakil Perlis, Anis Amira Rosidi dalam perlumbaan final pecut wanita elit.

Pelumba Selangor, Yong Ann Tung melakar kejutan menumbangkan atlet negara dari Pulau Pinang, Nurul Aliana Syafika Azizan untuk membawa pulang gangsa.

Azizulhasni (tengah) meraikan kemenangan memperoleh pingat emas bagi acara Men Elite Sprint pada Kejohanan Trek Kebangsaan 2024 di Velodrom Nasional Nilai pada Selasa. Foto Bernama
Azizulhasni (tengah) meraikan kemenangan memperoleh pingat emas bagi acara Men Elite Sprint pada Kejohanan Trek Kebangsaan 2024 di Velodrom Nasional Nilai pada Selasa. Foto Bernama

Nurul Izzah Izzati sebelum itu mengesahkan tempat ke peringkat akhir dengan menyingkirkan Nurul Aliana manakala Anis Amira mengatasi Ann Tung di peringkat separuh akhir.

Bagi acara scratch lelaki elit, Muhammad Yusri Shaari dari Buceros Cycling Club muncul juara diikuti pelumba Melaka Muhammad Hafiq Mohd Jafri dan gangsa milik Muhammad Adam Hakimi Nazuan dari Perak.

Saingan scratch wanita elit menyaksikan Nur Aisyah Mohd Zubir yang bakal membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik Paris menyambar emas untuk Terengganu manakala perak diraih Yeong Zhen Yi dari Kuala Lumpur dan Valencia Tan dari Singapura terpaksa berpuas hati dengan gangsa. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!