PM hadiri Persidangan Nikkei

Anwar Ibrahim. Foto Bernama
Anwar Ibrahim. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-29 mengenai Masa Depan Asia (Persidangan Nikkei) dalam lawatan kerja selama dua hari ke Jepun bermula Rabu.

Kementerian Luar Negeri (KLN) menerusi kenyataan memaklumkan, Anwar akan menyampaikan ucaptama dengan tema “Asian Leadership in an Uncertain World” pada persidangan itu.

"Persidangan pada tahun ini akan menjadi penyertaan pertama beliau," katanya pada Selasa.

Persidangan Nikkei merupakan perhimpunan tahunan di mana pemimpin-pemimpin politik, ekonomi dan akademik dari rantau Asia Pasifik menyuarakan pendapat secara bebas dan terbuka mengenai isu-isu serantau serta membincangkan peranan Asia di pentas dunia.

Ujar KLN, semasa lawatan itu Anwar yang turut diiringi Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong turut dijadual untuk mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat beliau, Fumio Kishida.

"Pertemuan ini akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak menilai dan membincangkan inisiatif memperkukuh hubungan yang telah lama terjalin antara Malaysia-Jepun serta kerjasama dalam pelbagai bidang, susulan penaiktarafan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada Disember tahun lalu," jelas kementerian itu.

Menurutnya, antara perkara yang dijangka dibincangkan adalah teknologi tinggi, peralihan tenaga dan alam sekitar, pertahanan dan keselamatan serta kerjasama dalam pendidikan tinggi.

"Mereka juga akan bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Anwar juga dijadual memberi ucapan di Universiti Keio.

"Mengiktiraf peranan Jepun sebagai salah satu sumber utama pelaburan langsung asing dan potensi pertumbuhan dalam bidang ekonomi, Anwar akan mengadakan sesi libat urus dengan beberapa peneraju industri Jepun," katanya.

Sehingga tahun 2023, sebanyak 2,810 projek oleh syarikat Jepun telah dilaksanakan di Malaysia dengan nilai pelaburan berjumlah RM102.11 bilion (AS$29.67 bilion) dan menyediakan 344,120 peluang pekerjaan.

Jepun juga merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia untuk sembilan tahun berturut-turut.

Pada tahun 2023, jumlah dagangan antara Malaysia dan Jepun bernilai RM156.64 bilion (AS$34.39 bilion).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!