Tuntutan palsu: Tiga pegawai latihan institut kemahiran direman

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan tiga pegawai latihan sebuah institut kemahiran selepas disyaki terlibat meluluskan tuntutan palsu berjumlah RM36,000.

Menurut sumber, dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 40 hingga 50 tahun itu ditahan kira-kira 4.10 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM di sini.

Majistret, Sasha Diana Sabtu membenarkan kesemua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Sumber itu berkata, seorang daripada suspek merupakan pengerusi koperasi di institut kemahiran dan penahanan mereka susulan siasatan terhadap dua pengarah syarikat yang telah direman sebelum ini.

"Ketiga-tiga suspek dipercayai terlibat dalam meluluskan tuntutan bayaran palsu sejumlah RM36,000 yang dikemukakan seorang pengarah syarikat swasta, tahun lalu.

"Tuntutan berkenaan berkaitan penyediaan makanan dan minuman termasuk dobi yang tidak dilaksanakan pengarah syarikat itu," katanya.

Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman tiga suspek tersebut dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Pada 16 Mei lalu media melaporkan dua pengarah syarikat direman selepas mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM40,000 kepada sebuah institut kemahiran tahun lalu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!