Sempurnakan projek pembangunan luar bandar sebaiknya - Zahid

Ahmad Zahid. Foto Bernama
Ahmad Zahid. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setiap pemegang taruh dalam ekosistem pembangunan luar bandar perlu memastikan program atau projek pembangunan yang sedang dilaksanakan dapat disempurnakan sebaiknya bagi membolehkan rakyat menerima manfaat dengan segera.

Perkara itu ditekankan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pembangunan Kementerian (MTPK) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Bilangan 1 Tahun 2024 hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, bagi tahun ini, kementerian itu telah menerima peruntukan pembangunan berjumlah RM7.44 bilion yang melibatkan 1,763 program atau projek.

"Alhamdulillah prestasi kementerian menepati Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.

"Namun, saya tekankan di dalam mesyuarat tadi ialah prestasi perbelanjaan tidak boleh dijadikan kayu pengukur semata-mata, tetapi yang lebih penting projek dan program dilaksanakan dapat dirasai dan dimanfaati oleh rakyat,” katanya dalam catatan di Facebook.

Mengenai mesyuarat berkenaan, Ahmad Zahid berkata, ia bertujuan memperhalusi Prestasi Pelaksanaan Projek Pembangunan KKDW sepanjang tahun ini.

"Saya percaya mesyuarat ini adalah platform yang penting dalam memastikan perancangan, strategi dan pelaksanaan program atau projek kementerian dapat berjalan lancar.

"Dengan kehadiran wakil-wakil Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) serta wakil-wakil kementerian dan agensi yang berkaitan, saya yakin dapat memastikan urusan pembangunan desa dapat diuruskan dengan sempurna,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam hantaran berasingan, Ahmad Zahid berkata, satu Bengkel Hala Tuju Strategik Program dan Projek Pembangunan KKDW telah diadakan selepas mesyuarat berkenaan bagi memperhalusi status pelaksanaannya di peringkat negeri.

"Saya mulakan dengan Perlis dan saya pastikan kordinasi dilakukan di peringkat pusat bagi memastikan pelaksanaan program atau projek KKDW dapat berjalan dengan lancar dan seterusnya memberi impak besar kepada kesejahteraan masyarakat desa terutamanya yang melibatkan pembangunan di negeri-negeri.

"Ini juga bagi memastikan pembangunan di setiap negeri dapat dilaksanakan mengikut keperluan dan kesesuaian semasa,” katanya.

Ahmad Zahid juga optimis mesyuarat dan bengkel berkenaan akan dapat menghasilkan satu laporan yang komprehensif berhubung hala tuju dan strategi pembangunan di negeri-negeri untuk membangun secara saksama dan sejahtera. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!