40 maut akibat denggi sejak Januari

Situasi panas dan kering ini boleh menyumbang kepada peningkatan populasi nyamuk aedes.
Situasi panas dan kering ini boleh menyumbang kepada peningkatan populasi nyamuk aedes.
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah kes demam denggi yang dilaporkan pada minggu epidemiologi (ME) ke-19 tahun ini, meningkat kepada 2,338 kes berbanding 1,995 kes pada minggu sebelumnya, dengan satu kematian dicatatkan akibat komplikasi demam denggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 57,220 kes berbanding 41,175 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, sebanyak 40 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan dalam ME ke-19 tahun ini berbanding 26 kematian bagi tempoh yang sama pada 2023 iaitu peningkatan sebanyak 14 kematian.

“Sebanyak 60 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu tersebut berbanding 70 lokaliti pada minggu sebelumnya, dengan 45 lokaliti hotspot berada di Selangor.

“Sementara itu, tujuh di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan Putrajaya, tiga di Sarawak, dua di Pulau Pinang dan masing-masing satu di Kedah, Perak serta Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Muhammad Radzi memberitahu bahawa, survelan chikungunya merekodkan sebanyak satu kes pada ME ke-19 dan menjadikan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 24 kes.

Bagi survelan zika, beliau memaklumkan, sebanyak 974 sampel darah dan enam sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

Tambahnya, taburan hujan dijangka berkurangan dan menjadikan cuaca lebih panas susulan Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan bahawa Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 17 Mei 2024 dan berterusan sehingga September 2024.

Artikel Berkaitan:

“Situasi panas dan kering ini boleh menyumbang kepada peningkatan populasi nyamuk aedes di persekitaran disebabkan kitaran hidup nyamuk dari fasa telur sehingga dewasa akan menjadi lebih pendek.

“Selain itu, nyamuk aedes betina akan menggigit dengan lebih kerap semasa cuaca panas untuk mendapatkan sumber protein iaitu darah bagi penghasilan telur,” ujarnya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai untuk terus memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk aedes di dalam dan luar rumah dengan melakukan aktiviti cari serta musnah tempat pembiakan sekurang- kurangnya 10 minit sekali seminggu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!