Periuk dicemari bangkai gagak boleh diguna selepas dicuci bersih

Tangkap layar hantaran video yang memaparkan periuk sup dicemari oleh bangkai gagak di TikTok baru-baru ini.
Tangkap layar hantaran video yang memaparkan periuk sup dicemari oleh bangkai gagak di TikTok baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Periuk atau bekas yang dicemari oleh binatang atau bangkai tidak perlu dibuang kerana masih boleh digunakan semula setelah dicuci dengan bersih.

Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Masyarakat Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, orang ramai tidak perlu berasa was-was untuk menggunakan perkakas sama kerana haiwan yang perlu disamak hanya khinzir dan anjing.

"Gagak yang masuk dalam periuk itu sama macam binatang lain cuma makanan atau bahan dalam periuk perlu dibuang sebab sudah dicemari dengan bangkai gagak. Apa yang perlu dilakukan hanya perlu membasuh dengan bersih.

"Walaupun gagak merupakan haiwan yang disuruh bunuh oleh Nabi Muhammad SAW tetapi ia bukannya najis dan hanya binatang perosak. Ia tetap suci, tidak perlu disamak serta disertu," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Mohd Izhar Ariff
Mohd Izhar Ariff

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan mengenai status periuk dicemari oleh bangkai gagak yang ditembak mati oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) ketika Ops Crow Sharpshooter (Ops CroSS) edisi Mini 2/2024 baru-baru ini.

Menerusi satu video yang dimuat naik di TikTok, pemilik perniagaan Twin Cafe Sup 88 itu mendakwa mereka mengalami kerugian lebih RM1,000 akibat insiden tersebut, namun reda dengan kejadian yang berlaku.

Dalam pada itu, pihak MBSP memaklumkan bahawa penyelesaian secara damai membabitkan insiden tersebut telah dilakukan dengan mengadakan perbincangan secara langsung dengan pemilik restoran berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!