Pengawal peribadi kawal skuad Gergasi Merah

Johan Kamal
Johan Kamal
A
A
A

SELANGORFC mengetatkan kawalan terhadap kesemua barisan pemain dan pengurusan bagi mengelakkan sebarang insiden jenayah berlaku kepada skuad Gergasi Merah itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, ia termasuk mengupah beberapa pengawal peribadi untuk mengawal pemain ketika hari perlawanan di laman sendiri mahupun ketika bertandang ke tempat lawan.

Beliau berkata, untuk aksi pertama skuad merah kuning itu menentang Kedah Darul Aman FC (KDA) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada Sabtu juga melibatkan pertambahan anggota polis selain turut melibatkan marshal.

“Pertambahan anggota Polis kepada 150 orang dan 100 marshal mengawal keselamatan perlawanan malam ini (semalam).

“Kawalan kepada pemain juga lebih ketat dan mereka tidak boleh balik sendiri iaitu kena naik bas.

“Kita juga ada mengupah pengawal peribadi yang akan menjaga individu tertentu dalam pasukan. Perkara sama juga dilakukan terhadap keluarga Faisal,” katanya selepas tamat perlawanan di Stadium MBPJ pada Sabtu.

Perlawanan menentang KDA FC itu adalah aksi liga pertama yang dilalui Selangor selepas tonggak sayap utamanya, Faisal Halim menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: