'Sebarang perlakuan jenayah tidak akan terlepas' - Saifuddin

Saifuddin Nasution (kanan) bercakap pada sidang akhbar selepas lawatan kerja Menteri ke Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras pada Jumaat. - Foto: Bernama
Saifuddin Nasution (kanan) bercakap pada sidang akhbar selepas lawatan kerja Menteri ke Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras pada Jumaat. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebarang kegiatan jenayah termasuk unsur gengsterisme yang didakwa berleluasa di Julau, Sarawak tidak akan terlepas daripada diambil tindakan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata, beliau telah dimaklumkan sendiri oleh Ahli Parlimen Julau yang menjelaskan berhubung situasi terbabit.

“Saya sendiri telah berkongsi kepada Ketua Polis Negara (Tan Sri Razarudin Husain) malah Ketua Polis Daerah ada mengeluarkan kenyataan terdapat tangkapan berhubung perkara itu.

“Biar proses (siasatan) itu selesai dibuat oleh pihak sana (polis) dan dakwaan wujud anasir jenayah itu tidak akan terlepas daripada siasatan polis,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan di kuarters Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah di Cheras di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas berhubung kenyataan Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng yang menggesa Bukit Aman bertindak keras terhadap kegiatan gengsterisme berleluasa yang menjadikan kawasan itu sebagai 'wild wild west'.

Menurutnya, beliau percaya pihak polis akan mengambil maklum dengan segera berhubung perkara terbabit.

Pada Khamis, media melaporkan Larry mendakwa kumpulan kongsi gelap bukan sahaja mengendalikan perjudian dalam talian di kedua-dua daerah Pakan dan Julau, malah turut terbabit aktiviti menjual dadah, kontraban seperti rokok, minuman keras serta pinjaman wang haram.

Melalui catatan di Facebook miliknya, Larry turut mendakwa, syabu atau 'Batu' (merujuk methamphetamine) dijual secara terbuka di bandar Julau untuk menunjukkan bahawa mereka kebal undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Malah, beliau juga mendakwa terserempak beberapa samseng tempatan yang jelas ingin menimbulkan masalah ketika menziarahi masyarakat Cina di Julau yang menyambut Tahun Baharu Cina.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28