Gol kemenangan buat Faisal Halim - Aliff Haiqal

Aliff Haiqal (kiri) meraikan jaringannya dengan gaya 'siu' seperti yang biasa dilakukan oleh Faisal. Foto Selangor FC.
Aliff Haiqal (kiri) meraikan jaringannya dengan gaya 'siu' seperti yang biasa dilakukan oleh Faisal. Foto Selangor FC.
A
A
A

PEMAIN Selangor FC, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau mendedikasikan kemenangan dan gol jaringannya kepada Faisal Halim yang kini sedang menerima rawatan akibat menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei lalu.

Gol jaringannya pada minit ke-85 itu selepas dimasukkan sebagai pemain gantian membantu skuad Gergasi Merah meraih tiga mata berharga dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada Sabtu.

Menurut Aliff Haiqal, dia juga terbayang wajah Faisal itu selepas meledak gol tersebut selain meraikan jaringan dengan gaya 'siu' seperti yang biasa dilakukan oleh pemain yang mesra disapa dengan gelaran Mickey itu.

"Untuk Faisal Halim kami sentiasa di belakang dan kami mendoakan cepat sembuh selain kemenangan ini untuk beliau.

"Sejujurnya saya hilang kata-kata (selepas jaringkan gol), puas dapat tolong pasukan dan saya terbayang wajah sahabat saya (Faisal)," katanya selepas perlawanan.

Sebelum ini, kem Selangor FC dikejutkan dengan insiden yang berlaku kepada Faisal apabila pemain sayap itu mengalami kelecuran tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali.

Ia menyebabkan Faisal terpaksa menjalani tiga pembedahan untuk merawat luka lecuran itu dan kini berada dalam keadaan stabil.

Perlawanan di Stadium MBPJ itu juga diselangi dengan dengan solidariti kepada Faisal oleh penyokong kedua-dua pasukan yang berdiri dan memberi tepukan pada minit ketujuh perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Aliff Haiqal juga yakin gol yang dijaringkannya itu juga akan meningkatkan tahap keyakinannya untuk membantu pasukan mengharungi saingan liga musim ini.

"Setiap tahun akan ada sasaran untuk setiap pemain. Asalkan saya dapat membantu pasukan mendapat keputusan yang baik itu adalah sasaran terbaik saya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!