Johor tidak sepatutnya dibelenggu miskin tegar - Onn Hafiz

Onn Hafiz
Onn Hafiz
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor menegaskan negeri ini sepatutnya tidak mempunyai rakyat yang dibelenggu kemiskinan tegar.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sejumlah RM657 juta diperoleh kerajaan negeri menerusi zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu golongan memerlukan termasuk miskin tegar.

"Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) telah menerima bayaran zakat sebanyak RM388 juta, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula telah diperuntukkan sejumlah RM269 juta menjadikan sejumlah RM657 juta disalurkan untuk membantu mereka yang memerlukan.

"Dalam isu miskin tegar, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail telah bertitah tiada seorang pun ketua isi rumah Bangsa Johor yang berstatus miskin tegar selepas tahun 2025.

"Dalam jangka masa 19 bulan yang akan datang, sila cari dan kenal pasti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) anda. Titah ini disambut dengan baik melalui inisiatif Johor Kasih, yang berkonsepkan ‘Keluarga Angkat’," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini pada Ahad.

Onn Hafiz (BN-Machap) dalam pada itu berkata, satu pasukan tindakan khas ditubuhkan pada tahun lepas bagi memutihkan data miskin tegar secara besar-besaran.

Jelasnya, hasilnya jumlah miskin tegar didapati telah menurun daripada 4,378 Ketua Isi Rumah (KIR) kepada 2,647 KIR sekali gus menunjukkan penurunan sebanyak 39.5 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Proses pemutihan data dijalankan pelbagai dapatan ditemui di mana terdapat individu yang tidak layak, tetapi masih lagi menerima bantuan, ada individu yang telah meninggal dunia tetapi masih lagi di dalam senarai dan terdapat juga yang menolak bantuan kerana rasa tidak layak.

"Di dalam kawasan saya sendiri di Machap daripada 20 KIR miskin tegar, hanya tujuh KIR sahaja yang benar-benar layak dikategorikan sebagai miskin tegar.

"Mengapa dan bagaimana perkara ini boleh berlaku? Mereka yang tidak layak diberikan bantuan. Mereka yang layak pula masih terus mengharap dan menantikannya.

"Saya mohon jasa baik ADUN untuk melakukan semakan ke atas data yang sedia ada dan turunlah padang untuk mengenalpasti jika ada lagi keluarga yang tercicir di kawasan masing-masing dan perlu dibantu," katanya.

Pada 9 Mei, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail ketika merasmikan pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 menitahkan agar tiada seorang pun ketua isi rumah bangsa Johor yang berstatus miskin tegar pada 2025.

Baginda bertitah kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu mencari dan mengenal pasti golongan terbabit di kawasan masing-masing dalam tempoh 19 bulan akan datang dan menyalurkan segala bantuan yang diperlukan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!