Kekalahan yang perit - Yusri

Yusri
Yusri
A
A
A

KEKALAHAN Perak FC pada saat akhir perlawanan menentang PDRM FC di Stadium Perak di Ipoh pada malam Sabtu disifatkan sesuatu yang sukar untuk diterima.

Perkara itu diakui ketua jurulatihnya, Yusri Che Lah yang meletakkan bebanan kekalahan tersebut di atas bahunya.

"Saya tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak melainkan menyalahkan diri saya sendiri dan saya mengambil tanggungjawab ini 100 peratus dan seandainya diberi ruang untuk perlawanan seterusnya saya akan melakukan yang terbaik.

"Perit untuk menerima kekalahan sebegini. Seharusnya malam ini saya mendapat paling kurang satu mata dengan keputusan seri adalah yang terbaik sebenarnya, tapi ALLAH lebih mengetahui," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan di antara Perak FC dan PDRM FC berkenaan.

Yusri dalam pada itu mengakui masih belum dapat menggunakan sepenuhnya kesemua pemain disebabkan masalah kecederaan dan penggantungan pemain terutama import mereka.

Menurutnya, kealpaan selepas mendahului perlawanan dihukum dengan jaringan melalui serangan balas pasukan lawan.

"Selepas ini kita akan bertemu pasukan yang lebih kuat iaitu Kedah FC dan Selangor FC. Tetapi malam ini memberikan satu keputusan yang tidak kita inginkan," katanya.

Sementara itu, Yusri menyasarkan mata dapat diraih bagi dua perlawanan berikutnya menentang Kedah FC dan Selangor FC di tempat lawan.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga mengakui kecewa apabila pasukannya sudah melepaskan enam gol dalam dua perlawanan awal Liga Super selepas tewas kepada Terengganu FC 1-3 dan terbaharu PDRM FC dengan keputusan 2-3.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!