FIM, MRA jalin usahasama

Yusop Khan (dua dari kanan) bertukar MoU yang ditandatangani bersama Mohd Daud (dua dari kiri) sambil diperhatikan oleh Zubida (kanan) dan Shahrizal Azwan di Mini Theater FIM, Kelana Jaya kelmarin. - FOTO ZAHID IZZANI
Yusop Khan (dua dari kanan) bertukar MoU yang ditandatangani bersama Mohd Daud (dua dari kiri) sambil diperhatikan oleh Zubida (kanan) dan Shahrizal Azwan di Mini Theater FIM, Kelana Jaya kelmarin. - FOTO ZAHID IZZANI
A
A
A

KELANA JAYA - Perjanjian persefahaman (MoU) di antara Food Institute of Malaysia (FIM) dan Malaysia Relief Agency (MRA) membuka lembaran baharu untuk memperluaskan penglibatan pelajar dalam aktiviti kesukarelawan serta kemanusiaan.

Pemeteraian MoU itu disempurnakan Ketua Eksekutif FIM, Yusop Khan Loth Khan dan Presiden MRA, Dr Mohd Daud Sulaiman di Mini Theater FIM di sini kelmarin.

Majlis tersebut juga disaksikan Pengarah FIM, Zubida Mohamed Haroon dan Setiausaha Agung MRA, Dr Shahrizal Azwan Samsudin.

Yusop Khan berkata, sebelum ini terdapat segelintir daripada keseluruhan pelajar di FIM menyertai kerja amal atas kapasiti individu atau melalui pertubuhan tertentu.

Justeru, beliau berharap usahasama dengan MRA akan mengembangkan minat pelajar dalam aktiviti sedemikian selain mempertingkatkan kemahiran sosial bersama masyarakat.

“Pelajar di sini mempunyai kemahiran dalam bidang kulinari, pastri dan hospitaliti.

“Jika dalam misi kemanusiaan bencana dalam dan luar negara, mereka boleh membantu di khemah masakan kerana dilatih memasak tanpa menggunakan peralatan serba moden.

“Pelajar juga dapat menyertai kerja amal di kawasan luar bandar khususnya dalam negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Mohd Daud berkata, kerjasama buat pertama kali dengan institut pengajian tinggi (IPT) dalam bidang kulinari itu akan dimulakan dengan kursus jangka pendek penyediaan makanan untuk golongan pelarian dan orang asli.

Menurutnya, untuk misi kemanusiaan peringkat antarabangsa, pelajar terbabit dapat memainkan peranan sebagai sukarelawan masakan selain tenaga kerja.

“Apabila diadakan MoU, usahasama ini lebih teratur dan saling berkongsi pengetahuan agar program dirancang memberi impak kepada golongan sasar,” katanya.