Kenyataan rasmi Influenza hanya daripada Noor Hisham: Dzulkefly

Dr. Dzulkefly dan Salahuddin melepaskan peserta pada acara Antibiotic Fun Run 2020 yang diadakan di Goat2go Farm, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) hari ini. Foto Sinar Harian/Rosli Talib
Dr. Dzulkefly dan Salahuddin melepaskan peserta pada acara Antibiotic Fun Run 2020 yang diadakan di Goat2go Farm, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) hari ini. Foto Sinar Harian/Rosli Talib
A
A
A

SERDANG - Tindakan Kementerian Kesihatan (KKM) yang hanya membenarkan Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah membuat kenyataan rasmi berkenaan kes influenza di seluruh negara adalah bagi memastikan tidak berlaku percanggahan maklumat.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu menjadi polisi kementeriannya bagi memastikan hanya maklumat yang tepat diberikan supaya tidak mencetuskan suasana panik.

Menurutnya, meskipun kementerian yang diterajuinya bertanggungjawab penuh dalam aspek kesihatan rakyat di negara ini namun pihaknya tetap tidak menafikan hak mana-mana pihak untuk bekerjasama.

"Ketua Pengarah (Noor Hisham) adalah bertanggungjawab untuk keluarkan kenyataan dan saya yakin beliau boleh menyelaraskan dengan semua negeri sama ada Exco kesihatan atau pun pegawai-pegawai (KKM).

"Ini kerana, kes influenza boleh mencetuskan kebimbangan jika tidak ditangani dengan berhati-hati.

"Jadi sebab itu KKM sangat berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan," katanya pada sidang media selepas selesai melancarkan 'Antibiotic Fun Run 2020' di di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak yang terkilan apabila dihalang KKM daripada mengeluarkan kenyataan perkembangan terkini penularan influenza di negeri itu.

Artikel Berkaitan:

Alias dilaporkan berkata, kes penularan influenza di negara ini bukanlah penyakit baharu yang perlu disorok.

Dalam pada itu, ditanya sama ada perlu atau tidak kenyataan rasmi berkaitan kes itu dikeluarkan setiap hari, Dzulkefly berkata, influenza bukanlah penyakit yang memerlukan notifikasi atau perlu diberitahu.

"Penyakit ini tidak dimasukkan dalam penyakit notifiable. Satu masa dahulu ya, yang mana perlu dilaporkan tapi sejak beberapa tahun lalu tidak lagi diletakkan dalam penyakit notifible atau perlu diberitahu.

"Justeru kerana itu agak sukar untuk kemaskini senario atau kes seluruh negara tetapi mungkin kita boleh perhatikan keperluannya nanti," katanya.