Pecut kereta takut ditahan kerana pengaruh dadah, tiada lesen

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Takut ditahan kerana tidak mempunyai lesen memandu dan berada dalam pengaruh dadah, seorang lelaki bertindak nekad memecut kereta bagi meloloskan diri daripada pemeriksaan polis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, lelaki warga tempatan itu bertindak melarikan diri daripada diperiksa di Jalan Sepadu Shah Alam pada Jumaat.

Beliau berkata, dalam kejadian jam 1.20 pagi, pihak kereta peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam memaklumkan telah mengejar sebuah kenderaan jenis Proton Satria warna kelabu gelap.

"Semasa kejadian di kawasan kilang Seksyen 25/123 Jalan Sepadu Shah Alam, kenderaan tersebut secara tiba-tiba melarikan diri apabila peronda MPV mahu membuat pemeriksaan.

"Namun hasil bantuan kereta peronda MPV dari Klang dan Banting, pemandu kenderaan berjaya ditahan setelah kereta dipandu terbabas di Jalan Klang Banting," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kata beliau, suspek yang berusia 32 tahun dan bekerja sebagai buruh mempunyai lapan rekod dadah termasuk satu notis dikehendaki kes narkotik serta tiga rekod jenayah.

Menurut beliau, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Katanya, suspek direman selama dua hari sehingga Sabtu kerana kesalahan dadah.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah seksyen 188 Kanun Keseksaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan.

Selain itu kata beliau lagi, siasatan turut dijalankan di bawah seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, S Sarjan Shatish di talian 010-5643645," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!