Apa yang saya katakan adalah benar, kata Zuraida

Mohamed Azmin dan Zuraida bersama orang ramai pada program Walkabout Tahun Baru Cina DUN Bukit Antarabangsa dan Parlimen Ampang di Pasar Pekan Ampang di sini pagi tadi.
Mohamed Azmin dan Zuraida bersama orang ramai pada program Walkabout Tahun Baru Cina DUN Bukit Antarabangsa dan Parlimen Ampang di Pasar Pekan Ampang di sini pagi tadi.
A
A
A

AMPANG - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin mengesahkan beliau menerima surat tunjuk sebab daripada lembaga disiplin parti atas dakwaan salah laku disiplin.

Sehubungan itu Zuraida berkata, beliau akan mengemukakan jawapan surat berkenaan dalam tempoh yang diberikan iaitu 14 hari.

"Insya-ALLAH saya akan menjawab isu yang dibangkitkan dan cuma saya tidak boleh sebut apa isunya buat ketika ini.

"Apa yang penting adalah segala apa yang saya ucapkan di Renaissance (hotel lokasi Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030) itu adalah perkara yang benar.

"Itu yang penting," katanya kepada media ketika ditemui pada program Walkabout Tahun Baru Cina Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa dan Parlimen Ampang di Pasar Pekan Ampang di sini pagi tadi.

Hadir sama, Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang juga Ahli Parlimen Gombak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Zuraida mengedarkan buah limau ketika beramah mesra dengan pengunjung dan peniaga pada program Walkabout Tahun Baru Cina DUN Bukit Antarabangsa dan Parlimen Ampang di Pasar Pekan Ampang di sini pagi tadi
Zuraida mengedarkan buah limau ketika beramah mesra dengan pengunjung dan peniaga pada program Walkabout Tahun Baru Cina DUN Bukit Antarabangsa dan Parlimen Ampang di Pasar Pekan Ampang di sini pagi tadi

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, beliau bersedia untuk berdepan dengan lembaga disiplin parti namun berharap tiada campur tangan daripada ketua parti.

Artikel Berkaitan:

"Situasi itu (tanpa dipengaruhi ketua parti), saya pasti mereka (lembaga disiplin) akan memberi perbicaraan yang adil kepada saya," katanya.

Dalam pada itu mengenai desakan beberapa Pengerusi PKR negeri agar beliau dipecat, Zuraida bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara tersebut.

"Itu tak payahlah (komen), biar orang lain. Itu semua tak ada standard saya," katanya.

Ketika ditanya mengenai kesediaan untuk menghadiri mesyuarat selepas ini katanya, beliau akan membuat keputusan dengan melihat kepada perkembangan semasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Zuraida diberi 14 hari jelas surat tunjuk sebab: Saifuddin

Semalam, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan bahawa PKR mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Zuraida atas dakwaan salah laku disiplin.

Namun tidak dijelaskan sama ada surat tersebut adalah bersabit ucapan atau kehadiran Zuraida dalam mesyuarat parti.

Lembaga Disiplin PKR sebelum ini dilapor memulakan siasatan pelbagai laporan salah laku membabitkan ahli dan pemimpin kanan parti termasuk Zuraida berkait insiden ketika dan selepas Kongres Nasional PKR 2019 di Melaka, Disember lalu.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Kassim berkata, siasatan menjurus insiden yang berlaku sebelum atau selepas kongres.

Zuraida dan Mohamed Azmin yang juga timbalan presiden PKR antara pemimpin yang dikatakan memboikot hari terakhir kongres namun mengadakan satu majlis makan malam di Kuala Lumpur pada hari yang sama.

Ketika berucap pada majlis makan malam itu, Zuraida menegur pimpinan presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.