Majlis Tahfiz Negara dilancar suku pertama tahun ini

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof - Foto Bernama
Datuk Seri Dr Mujahid Yusof - Foto Bernama
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Majlis Tahfiz Negara yang ditubuhkan untuk menambah baik institusi tahfiz dijangka dilancarkan pada suku pertama tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, sebelum majlis itu dilaksanakan satu program muzakarah akan diadakan dengan mengumpul semua pengelola sekolah tahfiz berdaftar serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat mengendalikan institusi tersebut.

“Muzakarah itu kita harap akan dapat menyiapkan satu resolusi untuk mewujudkan Majlis Tahfiz Negara,” katanya selepas lawatan ke Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam catatan di laman sosial Facebook rasminya semalam, yang menyatakan sudah masanya langkah menubuhkan Majlis Tahfiz Negara kerana bilangan sekolah tahfiz swasta semakin bertambah.

Tunku Ismail juga berharap supaya proses pendaftaran sekolah tahfiz dapat dipercepatkan bagi memastikan bangunan sekolah tahfiz selamat dan mengikut piawaian keselamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Mujahid berkata, majlis tersebut sebagai platform untuk membincangkan mengenai lima teras iaitu undang-undang dan penguatkuasaan serta memperkenalkan model institusi tahfiz yang diiktiraf.

"Selain itu teras berkenaan adalah memantapkan kurikulum pendidikan tahfiz sesuai dengan pendidikan arus perdana, memperkasa tadbir urus institusi tahfiz dan mewujudkan sistem pengiktirafan dan pensijilan institusi tahfiz.

“Kita ada dasar pendidikan tahfiz negara, kita tahu tahfiz ini luas sambutannya, tumbuh bagai cendawan sebab itu kita nak lihat daripada sudut keselamatan, kukurikulum dan lebih penting adalah pembelaan kepada pelajar, guru dan juga ibu bapa yang hantar anak-anak (di sekolah tahfiz),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, beliau berkata pindaan Seksyen 97 Akta 505 Pentadbiran Undang-Undang Islam 1993 (Wilayah Persekutuan) bertujuan memperluaskan kuasa dalam mengawal selia sekolah agama Islam.

“Apabila akta ini dipinda kita boleh mengambil tindakan kepada institusi tahfiz yang tidak berdaftar kerana selama ini kita tidak ada kuasa untuk berbuat demikian.

"Selain itu pengusaha tahfiz di seluruh negara diingatkan untuk berdaftar bagi memastikan mereka tidak ketinggalan daripada menerima bantuan yang diperuntukkan kepada institusi tahfiz menerusi Belanjawan 2019,” katanya.

Mujahid berkata, bantuan tersebut antaranya untuk penambahbaikan infrastruktur supaya pusat pengajian berkenaan mengikut spesifikasi keselamatan yang ditetapkan JBPM.

“Kita bantu daripada segi infrastruktur, lepas itu kita ada undang-undang untuk pantau supaya mereka menepati syarat-syarat pendaftaran, selepas itu baru la kita bagi peruntukan tambahan,” katanya.

Dalam pada itu, Mujahid berkata, lawatan bersempena program ziarah rahmah itu melibatkan Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bertujuan menziarah dan menyantuni penduduk Orang Asli di kampung berkenaan.

“Saya rasa perkampungan Orang Asli yang mempunyai 848 penduduk dengan 268 daripadanya beragama Islam ini paling moden, saya menziarah beberapa rumah penduduk di sini, mereka amat mesra dan menerima kunjungan kami,” katanya. - Bernama