Beri ruang Sarjit bentuk Speedy Tigers mantap

Sarjit Singh (kanan) menyampaikan pesanan kepada pemainnya sebelum aksi menentang Korea Selatan di kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh baru-baru ini. Foto MHC
Sarjit Singh (kanan) menyampaikan pesanan kepada pemainnya sebelum aksi menentang Korea Selatan di kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh baru-baru ini. Foto MHC
A
A
A

SKUAD hoki negara perlu diberi masa untuk membentuk skuad ampuh bagi mengharungi cabaran di pentas antarabangsa khususnya pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Bekas pemain negara, Datuk Mirnawan Nawawi berkata, ketua jurulatih kebangsaan, Sarjit Singh wajar diberi peluang untuk membina pasukan mengikut acuannya sendiri.

Malah, beliau percaya Speed Tigers yang baru dibentuk mampu mencapai sasaran yang ditetapkan menerusi komitmen tinggi semua pihak.

“Boleh dianggap skuad ini baru dibentuk di bawah kendalian Sarjit untuk kitaran Sukan Asia di Jepun 2026 dan Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

“Apa pun pasukan ini perlu diberikan masa untuk Sarjit bina mengikut acuan beliau bagi menghadapi kejohanan penting seperti Sukan Asia 2026 dan Piala Dunia 2026.

“Saya percaya jika pasukan ini diberikan masa ia boleh mencapai objektif yang ditetapkan.

“Namun ia memerlukan komitmen tinggi terutamanya pemain harus dahagakan kejayaan khususnya dalam kejohanan besar yang berdepan tekanan tinggi,” katanya kepada Sukan Sinar.

Dalam kejohanan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) di Ipoh, Perak baru-baru ini, Malaysia terpaksa berpuas hati di tempat keempat setelah tewas 2-3 kepada New Zealand.

Artikel Berkaitan:

Mirnawan bagaimanapun menyifatkan pencapaian Speedy Tigers pada kejohanan tersebut tidak penting kerana tiada sasaran yang diletakkan, tetapi prestasi keseluruhan yang paling utama.

Beliau berkata, masih ada ruang untuk penambahbaikan termasuk memberi penekanan kepada kekuatan, bertahan sebagai sebuah pasukan dan minumumkan kesilapan individu.

Malah tambahnya, contoh tauladan yang dibawa oleh pemain tonggak seperti Marhan Jalil, Hafizuddin Othman, Fitri dan Faizal Saari serta Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal begitu memberangsangkan.

“Ini adalah medan atau platform yang penting untuk melihat di mana tahap kita pada setiap aspek berbanding pasukan dalam kejohanan ini. Apa kelemahan yang dilihat perlu untuk ditambah baik untuk jangka pendek dan panjang.

“Malah Malaysia mencatat jaringan terbanyak iaitu 18 gol berbanding pasukan lain apabila Azrai Aizad menyumbangkan lapan gol,” katanya.

Speedy Tigers selepas ini akan menyertai Piala Negara-Negara di Poland dari 30 Mei hingga 9 Jun dan Trofi Juara-Juara Asia bermula 8 hingga 17 September di Inner Monggolia, China.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!