Harimau belang jantan mati dilanggar

Harimau belang jantan dipercayai mati akibat dirempuh kenderaan di Kilometer 50.8 Lebuhraya Pantai Timur pada pagi Khamis. Foto Perhilitan Pahang
Harimau belang jantan dipercayai mati akibat dirempuh kenderaan di Kilometer 50.8 Lebuhraya Pantai Timur pada pagi Khamis. Foto Perhilitan Pahang
A
A
A

KUANTAN - Seekor harimau belang jantan dewasa dilaporkan mati akibat dilanggar kenderaan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di Kilometer 50.8 arah Kuala Lumpur pada Khamis.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md Yasin mengesahkan perkara itu dan memaklumkan kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 1.23 pagi.

"Harimau jantan itu dianggarkan seberat 130 kilogram dan berusia empat tahun berdasarkan saiz tubuh haiwan berkenaan.

"Berdasarkan jangkaan awal, haiwan itu (dipercayai) dari Hutan Simpanan Bukit Tinggi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau memberitahu bangkai harimau belang itu sudah diambil oleh pihaknya awal pagi Khamis bagi tindakan selanjutnya.

Sebelum itu, tular satu rakaman berdurasi 28 saat di laman sosial berhubung penemuan bangkai harimau yang dipercayai dirempuh kenderaan.

Kejadian tersebut tular menerusi perkongsian video dirakam oleh pengguna yang melalui jalan tersebut ketika insiden berlaku.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: