SKFMKI 2024 bincang pelbagai aspek kepentingan ekonomi ummah
KUALA LUMPUR - Koperasi Muslimin Malaysia Berhad (KMMB) dan Persatuan Ulama Malaysia dengan kerjasama Fakulti Pengurusan dan Muamalah, Universiti Islam Selangor (UIS) akan menganjurkan Seminar Kebangsaan Fiqh Muamalat dan Kewangan Islam (SKFMKI 2024).
Bertemakan ‘Kelestarian Kewangan dan Kesejahteraan Ekonomi Ummah’, ia akan berlangsung pada 25 Mei 2024 dari pukul 8 pagi hingga 5 petang di Auditorium Dr. Zainuddin Jaffar, UIS, anjuran bersama Jawatankuasa Perhubungan KMMB Negeri Selangor dan Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Negeri Selangor (PUMSel).
“Kerjasama dan sinergi tiga entiti iaitu JKPK Selangor, PUMSel serta Fakulti Pengurusan dan Muamalah, UIS akan dapat menjadi satu gabungan yang kuat untuk membantu memberi apa sahaja alternatif jalan penyelesaian kepada penambahbaikan perjalanan sistem kewangan Islam di negara ini,” katanya.
Seramai 400 orang peserta dijangka bakal menghadiri seminar tersebut.
Antara pembentang yang akan membentangkan kertas kerja mereka ialah Prof. Madya Datuk Dr. Luqman Abdullah (Mufti Wilayah Persekutuan), Dr. Md. Nurdin Ngadimon (Penasihat Syariah KMMB), Prof. Dr. Azman Mohd. Noor (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, UIAM) dan Mohd Nazri Chik (Ketua Pegawai Kewangan Sosial Kumpulan, Bank Islam Malaysia Berhad, BIMB), manakala Prof. Madya Dr. Nurazmallail Marni (Pengerusi KMMB) akan menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian seminar ini.
Manakala sesi forum pula membariskan tiga panel, iaitu Dr. Abdul Rahman Abdul Shukor (Perunding Syariah dan Penasihat Syariah), Muhammed Zahid Abdul Aziz (Pengarah, Muamalah Financial Consulting Sdn Bhd) dan Ahmad Yani Ismail
(Pemangku Pengarah, Pusat Penyelidikan Ekonomi & Kewangan Islam (IRCIEF), manakala moderator sesi forum dikendalikan oleh Mohamad Zarifi Mohamad Daud.
Sementara itu, Pengerusi PUMSel, Rumaizi Ahmad berkata, sistem perbankan dan kewangan Islam di Malaysia telah menjangkau hampir 61 tahun dimulakan dengan institusi tabungan bakal haji.
“Kerana itulah, mengapa pemegang taruh dalam dunia kewangan berasaskan syariah perlu hadir dalam seminar ini bagi bersama mendukung resolusi yang akan dirumuskan nanti,” jelasnya.
Sementara itu, Ahli Lembaga KMMB, Ahmad Tarmizi Husain berkata, Seminar Kebangsaan Fiqh Muamalat & Kewangan Islam 2024 akan menjurus kepada perbahasan dan perkongsian ilmu dalam menjana dan memperkasakan sistem ekonomi Islam secara mapan dan bersepadu selaras dengan prinsip-prinsip syariah.
“Ia bakal disampaikan oleh pakar dan ahli akademik serta mereka yang terlibat secara langsung dalam pasaran kewangan Malaysia dan antarabangsa sebagai usaha mengarusperdanakan lagi kewangan Islam khususnya dalam sektor koperasi.
“Jadi kami menjemput orang ramai khususnya ahli koperasi, pelajar dan para pemain industri berkaitan hadir di seminar ini,” katanya.
Antara objektif seminar ini adalah bagi menyediakan peluang dan landasan terbuka kepada para ilmuan, penyelidik dan pemain industri kewangan Islam dan koperasi untuk membincangkan penemuan kajian mereka, membentangkan dapatan serta mengenalpasti solusi kepada permasalahan ekonomi yang dihadapi ummah.
“Saya berharap melalui platform ini ia dapat memberi ruang perkongsian ilmu dalam menjana dan memperkasakan sistem ekonomi Islam secara mampan dan bersepadu.
“Selain itu, para pensyarah dapat meningkatkan jaringan dan kerjasama bersama pihak industri, NGO serta komuniti dan seterusnya dapat mempromosikan UIS di peringkat global,” ujar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!