Sebat mandatori, penjara seumur hidup tangani rasuah

Gambar hiasan. Gambar kecil dari kiri: Zairudin, Zainal Adnan
Gambar hiasan. Gambar kecil dari kiri: Zairudin, Zainal Adnan
A
A
A

SHAH ALAM - Hukuman sebat mandatori dan penjara seumur hidup wajar dikenakan kepada pesalah rasuah sebagai usaha membanteras jenayah tersebut terutama melibatkan individu berjawatan tinggi dalam sesebuah organisasi.

Naib Pengerusi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim berkata, hampir setiap hari tangkapan dan pendakwaan terhadap kumpulan tersebut dilaporkan.

"Hukuman berat kepada pesalah mengedar dadah mungkin boleh dilaksanakan sebagai tindakan undang-undang untuk membendung masalah rasuah di Malaysia," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pada Selasa, seorang bekas pengurus besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Ledang, Tangkak, Johor didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka atas dua tuduhan membuat tuntutan palsu dan meminta serta menerima suapan berjumlah RM64,550 berkaitan projek tanaman lengkuas.

Tertuduh mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim, Elesabet Paya Wan.

Tambah Zairudin, sistem kawalan rasuah wajar dilaksanakan secara menyeluruh bagi setiap sektor untuk memastikan budaya integriti terus diperkasakan.

Ujar beliau, jenayah tersebut perlu dihapuskan dengan memutuskan rantai kegiatan berkenaan yang telah diwariskan daripada generasi awal ke generasi berikutnya.

"Bagi memupuk kesedaran semua petugas termasuk pengurusan supaya lebih cakna mengenai tatakelola dalam tadbir urus syarikat atau institusi, kolaborasi pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan organisasi korporat mahupun kerajaan berpotensi membanteras rasuah secara komprehensif.

Artikel Berkaitan:

"Rasuah tidak hanya boleh ditangani melalui pendekatan undang-undang dan tatacara tetapi harus diperkuatkan menerusi pendekatan budaya iaitu usaha sistematik dalam merubah mental dan karakter individu, pentadbir dan pemerintah serta ahli politik," katanya.

Sementara itu, menurut Yang Dipertua Ikram Kuala Lumpur, Zainal Adnan Abdul Halim, setiap majikan atau pemilik syarikat disarankan untuk mengamal konsep 'whistle blower' dalam organisasi sebagai usaha memerangi jenayah rasuah dalam jabatan mereka.

Jelasnya, tindakan berkenaan sangat penting supaya setiap warga kerja berani membuat aduan walaupun melibatkan pegawai atasan dan mereka akan rasa dilindungi serta tidak takut membuat aduan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!