Exco Pelancongan Perlis ditidurkan akibat komplikasi tiroid

Wan Badariah
Wan Badariah
A
A
A

KANGAR - Exco Pelancongan Perlis, Wan Badariah Wan Saad terpaksa ditidurkan akibat komplikasi tiroid di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, pada Selasa.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, keadaan kesihatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer itu dilaporkan stabil.

Menurutnya, Wan Badariah dimasukkan ke hospital akibat masalah kesihatan berikutan sakit tiroid dihadapinya.

"Keadaannya masih dipantau oleh doktor. Punca awal adalah disebabkan tiroid dan beliau mengalami komplikasi jantung selain paru-paru berair.

"Bagaimanapun keadaannya dilaporkan stabil tengah hari tadi,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di sini, pada Rabu.

Mohd Shukri berkata, beliau mengutamakan kesihatan Wan Badariah dan akan mengesyorkan wakil rakyat berusia 48 tahun itu untuk bercuti sementara waktu.

Katanya, ia bagi membolehkan ADUN Mata Ayer tersebut mendapatkan rawatan perubatan sebaik-baiknya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya belum memutuskan untuk melantik wakil rakyat lain dalam kalangan Exco untuk memangku tugasan Wan Badariah.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memohon semua rakyat untuk sama-sama berdoa supaya Wan Badariah kembali sihat semula.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!