[VIDEO] Bakal jemaah terkandas, kerajaan dan TH cari jalan penyelesaian terbaik

A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Lembaga Tabung Haji (TH) masih dalam proses mencari jalan terbaik bagi membantu menyelesaikan isu melibatkan sekumpulan bakal jemaah Malaysia yang didakwa terkandas di Makkah kerana menggunakan visa pelancong untuk mengerjakan haji.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, hal ini termasuk pilihan membawa pulang kesemua jemaah terbabit ke Malaysia.

"Buat masa ini kita sedang lakukan siasatan dan setakat ini juga kita belum dapat sahkan jumlah mereka yang terkandas.

"Namun, kita juga sentiasa berhubung dengan Konsulat Malaysia (di Jeddah) kerana ia merupakan tanggungjawab bersama demi menjaga kebajikan rakyat Malaysia di sana,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri International Waqf Conference 2024 (IWC24) di ibu negara pada Selasa.

Laporan Sinar Harian pada 11 Mei lalu.
Laporan Sinar Harian pada 11 Mei lalu.

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 300 bakal haji Malaysia yang kini di Makkah terkandas apabila agensi umrah yang menguruskan perjalanan mereka, gagal menunaikan janji untuk mendapatkan kebenaran mengerjakan haji pada musim ini.

Difahamkan, kumpulan bakal haji terbabit terperdaya dengan tawaran pakej haji yang murah selain menggunakan visa pelancong bagi menunaikan ibadah itu oleh agensi berkenaan.

Susulan itu, TH meminta jemaah terlibat membuat aduan atau laporan rasmi kepada TH dan Kedutaan Malaysia di Jeddah, Arab Saudi dengan segera bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!