Stadium Likas guna sistem VAR sendiri

Aksi Sabah FC menentang Kuching City FC dalam saingan pramusim Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) 2024 di Stadium Likas, baru-baru ini.
Aksi Sabah FC menentang Kuching City FC dalam saingan pramusim Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) 2024 di Stadium Likas, baru-baru ini.
A
A
A

SABAH bakal menjadi negeri pertama mengguna pakai sistem Video Pembantu Pengadil (VAR) sendiri jenis sistem Goal Sport VAR untuk perlawanan Liga Malaysia di Stadium Likas, Kota KInabalu setelah proses latihan, pengurusan dan teknikal diselesaikan selepas Jun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam berkata, perkara itu direalisasi hasil kesediaan kerajaan Sabah melabur untuk pemasangan Sistem Goal Sport di Stadium Likas, Kota Kinabalu bagaimanapun beliau tidak menyebut jumlah pelaburan tersebut.

Beliau berkata, pada masa ini Liga Malaysia mengguna pakai Sistem Keterlihatan Dipertingkat (EVS) mudah alih dengan empat trak mudah alih dalam perlawanan liga itu di Semenanjung dan perlawanan di Stadium Likas buat masa ini juga menggunakan sistem VAR jenis EVS.

Katanya, VAR yang disediakan di Stadium Likas adalah daripada sistem Goal Sport dibezakan dengan EVS berdasarkan teknologi tertentu dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) secara dasarnya tidak mempunyai halangan untuk Liga Malaysia menggunakan dua sistem VAR berbeza.

“Sistem (VAR) yang digunakan hari ini untuk (Liga Super) Sabah FC dan Penang FC di Stadium Likas adalah sistem yang dibawa dari Semenanjung iaitu EVS yang digunakan MFL ketika ini. Sistem Goal Sport di Stadium Likas kita guna selepas Jun nanti.

“Dalam bulan 6, 9 dan 10 ketika FIFA window nanti kita boleh jalankan latihan pengadil untuk gunakan dua sistem ini selain adakan mesyuarat penyelarasan dan latihan lain sama ada di Sabah atau Kuala Lumpur. Timeline kita guna (sistem Goal Sport) dalam Liga Malaysia tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pertemuan MFL dengan Lembaga Sukan Sabah, Kota Kinabalu pada Ahad.

Stuart berkata, beliau pihaknya juga telah bermesyuarat bersama pegawai FIFA di Kuala Lumpur pada April lalu mengenai penggunaan dua sistem VAR itu dalam Liga Malaysia, yang turut disertai kontraktor penyedia sistem tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Sistem Goal Sport telah digunakan seluruh dunia. Tidak boleh sesuka hati beli dan pasang, sistem dipasang di Sabah dibeli juga dipasang vendor rasmi daripada FIFA dan telah ditauliahkan.

“Kami berharap perkara ini dilihat secara positif disebabkan dalam kelayakan Sabah ke kejohanan Piala AFC yang lalu juga menunjukkan banyak penambahbaikan di peringkat tempatan dari segi fasiliti dalam stadium, ruang penonton dan juga skrin gergasi,” katanya. - Bernama