Fandi puji disiplin pemain

Fandi Ahmad
Fandi Ahmad
A
A
A

PENGENDALI Sri Pahang FC, Fandi Ahmad memuji disiplin yang ditonjolkan anak buahnya pada babak kedua permainan sekali gus membantu skuad Tok Gajah mengutip tiga mata penuh ketika melayan kunjungan Kelantan Darul Naim (KDN) FC dalam aksi pembuka tirai Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) pada Sabtu.

Dalam perlawanan tersebut, tuan rumah melakarkan kemenangan 1-0 ke atas pasukan pelawat menerusi jaringan tunggal pemain importnya, Manuel Hidalgo pada minit ke-64.

Bekas pemain kebangsaan Singapura itu mengakui gembira dengan aksi yang dipamerkan anak-anak buahnya pada babak kedua berbanding babak pertama perlawanan.

"Alhamdulillah, babak pertama agak kurang sikit, mereka (KDN) banyak memberi tekanan. Disiplin pemain pada babak kedua sangat bagus tapi banyak yang harus diperbaiki," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Pengendali berusia 61 tahun itu turut memuji aksi ditampilkan pemain tengah, Saiful Jamaludin yang banyak membantu pasukan, selain menyifatkan perlawanan itu sebagai medan eksperimen buat pemain.

"Berbanding musim lepas, kita dapat banyak perlawanan dengan pasukan-pasukan lebih tinggi, musim ini bulan puasa tak dapat banyak main dengan pasukan-pasukan sebegini," tambahnya lagi.

Ditanya mengenai penggunaan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) yang tidak dapat digunakan dalam perlawanan tersebut disebabkan masalah teknikal, Fandi mengakui turut terkejut dengan perkara itu namun ia tidak menjadi masalah buat pasukan.

"Tapi bagi saya, semuanya okay, apa yang diperlukan kita ikut sahaja," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pengendali KDN FC, Park Jaehong menyifatkan anak-anak buahnya bermain dengan baik, namun mengakui kesukaran yang dihadapi apabila beraksi di tempat lawan dan akan segera memperbaiki kelemahan yang ada menjelang aksi seterusnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!