Politik sederhana, berteras perpaduan formula terbaik - MP Bangi

PH berjaya mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu yang disandang sejak 2013 selepas calonnya, Pang Sock Tao menang pada pilihan raya kecil (PRK) kali ini. Foto Sinar Harian-ROSLI TALIB, gambar kecil: Syahredzan
PH berjaya mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu yang disandang sejak 2013 selepas calonnya, Pang Sock Tao menang pada pilihan raya kecil (PRK) kali ini. Foto Sinar Harian-ROSLI TALIB, gambar kecil: Syahredzan
A
A
A

SHAH ALAM - Kemenangan diperoleh Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu membuktikan bahawa konfigurasi politik berteraskan perpaduan termasuk kebersamaan adalah formula terbaik untuk Selangor serta Malaysia.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, ini berbeza dengan Perikatan Nasional (PN) yang dilihat memainkan isu 3R (raja, agama dan kaum) pada kempen PRK berkenaan, telah gagal menawan hati rakyat.

"Dari awal lagi mereka mengintai peluang kemenangan dengan memainkan isu kaum dan agama.

"Isu sekolah vernakular, agama serta bangsa calon yang bertanding termasuk sentimen ‘Melayu hilang kuasa’ telah dimainkan pemimpin PN semasa kempen.

"Malahan, jentera PN tidak menawarkan apa-apa yang menarik buat pengundi KKB dan hanya membawa polemik isu 3R.

"Jelas bahawa politik seperti ini memberi pulangan yang semakin berkurang dan tidak mampu untuk menawan negeri seperti Selangor mahupun Malaysia.

"PN perlu bermuhasabah dan menerima hakikat bahawa Malaysia adalah negara pelbagai kaum, agama dan hanya politik kesederhanaan serta perpaduan boleh merangkul sokongan daripada segenap lapisan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pasa Sabtu, PH berjaya mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu yang disandang sejak 2013 selepas calonnya, Pang Sock Tao menang pada PRK kali ini.

Artikel Berkaitan:

Kemenangan Sock Tao yang mewakili Kerajaan Perpaduan itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK Kuala Kubu Baharu, Yuhanas Auree Kamaruddin di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor.

Sock Tao memperoleh sebanyak 14,000 undi dengan majoriti 3,869.

Kemenangan itu juga menyaksikan wanita berusia 31 tahun berkenaan menewaskan tiga pencabarnya iaitu calon PN, Khairul Azhari Saut, Hafizah Zainuddin mewakili Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan seorang calon Bebas, Nyau Ke Xin.

Khairul Azhari mendapat 10,131, Hafizah (152) dan Ke Xin (188).

Tambah Syahredzan, kemenangan PH menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin diterima masyarakat.

"Syabas diucapkan kepada saudari Pang Sock Tao atas kemenangan dengan majoriti selesa dalam PRK Kuala Kubu Baharu.

"Kemenangan ini menunjukkan bahawa keyakinan rakyat pada Kerajaan Selangor yang diterajui Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari masih utuh dan memberi mesej jelas bahawa dasar kerajaan Persekutuan di bawah Perdana Menteri kian diterima rakyat," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!