Wanita maut, kereta rempuh rumah kedai

Kereta dipandu seorang lelaki terbabas lalu merempuh rumah kedai menyebabkan seorang wanita maut.
Kereta dipandu seorang lelaki terbabas lalu merempuh rumah kedai menyebabkan seorang wanita maut.
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang wanita maut selepas kereta dipandu rakan lelakinya terbabas lalu merempuh rumah kedai di Tasek Gelugor di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian jam 12.55 tengah malam itu, kereta Proton Saga yang dipandu lelaki berusia 40 tahun itu hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan melanggar rumah kedai.

Menurutnya, akibat rempuhan itu, Norsyawallina Che Rus, 28, yang duduk di tempat penumpang hadapan maut di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala.

"Hasil siasatan mendapati kemalangan melibatkan sebuah Proton Saga yang datang dari arah Pongsu Seribu menghala ke Tasek Gelugor.

"Apabila tiba di Jalan Pokok Macang, kereta tersebut hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan melanggar rumah kedai," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, rumah kedai itu dijadikan kediaman sebuah keluarga namun tiada kecederaan melibatkan penghuni di dalamnya.

"Pemandu kereta yang juga seorang nelayan cedera ringan namun rakan wanitanya meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah kecederaan parah di kepala," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, orang awam yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu diminta menyalurkannya dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Utara di talian 04-5741427 atau balai polis berhampiran.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.