Memukau! Magis Aina Abdul bawa penonton ke alam fantasi

Persembahan bertenaga Aina Abdul dan MPO berjaya memukau penonton yang hadir ke konsert pada Jumaat. -Foto Astro AWANI/Asyraf Roslan
Persembahan bertenaga Aina Abdul dan MPO berjaya memukau penonton yang hadir ke konsert pada Jumaat. -Foto Astro AWANI/Asyraf Roslan
A
A
A

PERSEMBAHAN cukup mempersonakan daripada penyanyi Aina Abdul membuatkan ramai peminat yang hadir tidak sedar bahawa sudah dua jam konsert Aina Abdul bersama MPO itu berlangsung.

Bukan sahaja terpukau dengan kelunakan vokal Aina, malah iringan muzik daripada Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) juga berjaya membuatkan penonton seolah-olah dibawa ke alam fantasi penuh magis.

Baru pertama kali tampil di pentas Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), mungkin akan ada sesetengah peminat merasakan Aina seperti 'tidak memberi', namun percayalah ini adalah masa untuk anda duduk dan menghayati lontaran vokal yang sangat bertenaga daripada Aina.

Menerusi pentas DFP, pelantun lagu Sedia terluka itu berjaya membuktikan bahawa beliau berada di kelasnya yang tersendiri serta memperlihatkan sisinya yang berbeza sebagai seorang penyanyi yang berkualiti.

Menurut Aina, persembahannya di pentas DFP sangat berbeza kerana pentas ini akan menunjukkan sisinya yang lebih “patuh”.

“Pentas ini sangat berbeza dengan mana-mana konsert saya, sebab tu saya minta kepada peminat saya yang suka dengar saya menyanyi kena datang konsert ini sebab ia berbeza.

“Konsert ini akan nampak sisi saya yang lebih patuh berbanding saya yang sebelum ini suka bantai (beri) di konsert sebelum ini,” katanya semasa sidang media selepas konsert Aina Abdul bersama MPO berlangsung.

Pada masa sama, Aina yang juga komposer menyatakan bahawa untuk hari pertama dia tidak puas dan mahu berikan yang terbaik untuk mereka terutama peminat yang hadir menyaksikan persembahannya.

Artikel Berkaitan:

“Puas itu tidak, sebab masih ada satu lagi satu hari lagi, tugasan belum habis lagi tapi saya sudah berikan sehabis baik saya dan esok saya akan bagi lebih baik.

“Pentas DFP adalah satu pentas yang dinantikan oleh semua penyanyi, saya sangat bertuah diberikan peluang untuk berada di pentas ini dan bekerjasama dengan Muhriz Che Rose,” ujarnya media pada Jumaat.

Aina menyampaikan sekitar 20 buah lagu, antaranya Imaji, Sumpah, Sepi, Sesal, Kejam, Terus Hidup dan Jangan Mati Rasa Itu dengan iringan orkestra Malaysian Philharmonic Orchestra pimpinan Muhriz Che Rose.

Untuk busana, Aina menyarung rekaan Melinda Looi dan Ezuwan Ismail untuk hari pertama serta Rizman Ruzaini dan Wan & Mary untuk hari kedua.

Sekitar 800 penonton memenuhi DFP untuk menyaksikan persembahan Aina termasuk rakan artis Anuar Zain dan Ziana Zain.

Konsert Aina Abdul bersama MPO berlangsung selama dua hari iaitu pada 10 dan 11 Mei di Dewan Filharmonik PETRONAS. - Astro Awani

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!