X

Kindly register in order to view this article
!

PLUS kekal dengan pemilik semasa 'keputusan terbaik'

Dr Mahathir (duduk tengah) yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika sidang media sempena Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu hari ini. -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata langkah membolehkan PLUS Malaysia Bhd, syarikat konsesi lebuh raya terbesar di negara ini, untuk kekal dengan pemilik semasa, Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan "keputusan terbaik.”

Beliau berkata keputusan itu dibuat oleh Kabinet selepas mengkaji cadangan daripada pelbagai pembida, termasuk Maju Holdings.

"Keputusan terbaik adalah membolehkan lebuh raya itu kekal dengan pemiliknya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Eksekutif Maju Holdings Tan Sri Abu Sahid Mohamed dalam media semalam yang mengkritik Pengarah Urusan Khazanah Nasional Datuk Shahril Ridza Ridzuan mengenai keputusan untuk tidak menjual PLUS.

"Saya tidak membuat keputusan apa-apa. Saya ada melihat cadangan beliau (Abu Sahid). Kami (Kabinet) mengkaji semua cadangan yang dibuat oleh pelbagai pembida,” katanya.

Pada Rabu, Kabinet memutuskan bahawa syarikat konsesi lebuh raya itu perlu kekal dengan pemiliknya dan tempoh konsesi dilanjutkan 20 tahun lagi dari 2038 kepada 2058 dengan kadar tol dikurangkan sebanyak 18 peratus berkuat kuasa 1 Feb. Tiada semakan semula kadar tol sehingga tamat tempoh konsesi.

Mengenai lanjutan selama 20 tahun, Dr Mahathir berkata: "Dengan lanjutan itu, mereka akan dapat membayar hutang mereka dan terus mengendalikan lebuh raya terbesar di negara ini.

Lebuh raya di bawah PLUS termasuklah Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), Linkedua (menghubungkan Malaysia dan Singapura), Lebuhraya Butterworth-Kulim, Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Seremban-Port Dickson dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2). -Bernama