Kes rasuah, pengubahan wang haram Adam Radlan ditangguh ke 10 Jun

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan lima kes rasuah dan tujuh pengubahan wang haram membabitkan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad di Mahkamah Sesyen di sini yang sepatutnya bermula hujung Mei, ditangguhkan ke 10 Jun.

Hakim, Suzana Hussin menangguhkan prosiding berkenaan selepas pihak pembelaan mewakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat itu, memohon penangguhan perbicaraan yang dijadualkan pada 27, 28 dan 29 Mei.

Semasa sebutan kes, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry berkata, pihak Adam Radlan telah mengemukakan surat pada Selasa lalu bagi menangguhkan perbicaraan berkenaan.

Menurutnya, dalam prosiding lalu, mahkamah menetapkan Khamis untuk serahan pernyataan saksi kepada pembelaan.

“Bagaimanapun, saya percaya pihak mahkamah telah menerima surat penangguhan perbicaraan.

“Pendakwaan tidak membantah permohonan tersebut,” katanya kepada Suzana.

Dalam pada itu, beliau berkata, pernyataan saksi akan diserahkan kepada pembelaan dalam tempoh 14 hari sebelum perbicaraan bermula.

Sementara itu, peguam, Alaistair Brandah Norman yang mewakili Adam Radlan mengesahkan perkara berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, perbicaraan kes ditetapkan berlangsung selama 15 hari bermula 27 hingga 29 Mei, 10 hingga 12 Jun, 9 hingga 11 Julai, 22 hingga 24 Julai dan 5 hingga 7 Ogos.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Mohamad Fadhly berkata, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Adam Radlan memohon penangguhan prosiding.

Katanya, ia disebabkan pembelaan perlu mengendalikan kes berprofil tinggi iaitu kes rasuah dan pengubahan wang haram dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi di sini.

Pada 21 Februari tahun lalu, ahli politik ini dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, atas satu tuduhan meminta suapan iaitu wang tunai sejumlah 3.5 hingga tujuh peratus nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh Mamat merupakan Pengarah Urusan Syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.

Dia turut didakwa atas satu tuduhan menerima suapan RM500,000 ke akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada individu sama sebagai upah kerana membantu syarikat tersebut mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Keesokkan harinya, dia didakwa lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berhubung projek Jana Wibawa daripada Lian Tan Chuan dan Mat Jusoh melalui akaun CIMB Bank Bhd milik Syarikat Bayu Bumiraya Sdn Bhd yang dia adalah pengarah syarikat berkenaan.

Ia sebagai upah bagi tertuduh membantu Syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy bagi mendapatkan dua projek iaitu Ibu Pejabat Daerah Klang Utara dan pembinaan jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan Malaysia masing-masing bernilai RM141 juta serta RM47.8 juta.

Pada 28 Februari tahun sama, dia dituduh di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan meminta rasuah RM2 juta, Tan Chuan sebagai upah membantu Nepturis mendapatkan projek Ibu Pejabat Daerah Klang Utara, Selangor daripada kerajaan Malaysia, di sebuah restoran di Damansara, Januari 2022.

Pada 25 Oktober tahun sama, dia dituduh di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan menggunakan wang daripada aktiviti haram berjumlah RM500,000, bermula 2021 lalu.

Dia didakwa di Mahkamah Sesyen, Shah Alam sekali lagi pada 9 November 2023, atas enam pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) berjumlah RM3.7 juta.

Lima kes rasuah Adam Radlan dibicarakan bersama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!