'Jangan menidakkan hak anak-anak' - Yasmin Hani

Yasmin dan Shahrin terus menjalankan tanggungjawab sebagai ibu dan ayah Noah serta Eissa biarpun sudah tidak lagi bersama.
Yasmin dan Shahrin terus menjalankan tanggungjawab sebagai ibu dan ayah Noah serta Eissa biarpun sudah tidak lagi bersama.
A
A
A

PERCERAIAN adalah antara situasi yang mahu dielakkan oleh mana-mana pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang sudah punya anak bersama.

Namun, perceraian juga bukan bermakna pengakhiran buat setiap pasangan atau lebih tepat lagi menjadi musuh, sekali gus mengabaikan tanggungjawab masing-masing.

Itulah prinsip yang dipegang oleh pengacara dan pelakon, Yasmin Hani Ismail Richardson selepas mengambil keputusan untuk berpisah dengan suaminya, Shahrin Razali, dua tahun lalu setelah sedekad melayari bahtera rumah tangga.

Menurut Yasmin yang juga bekas penyampai radio, pengalaman membesar dalam keluarga berpecah kerana ibu bapanya bercerai ketika dia masih kecil menjadi asbab buatnya memastikan dua permata hati iaitu Noah Ismail Wong, 10, dan Eissa Elzander Wong berusia tujuh tahun tidak melalui situasi sukar yang sama.

“Dahulu ketika kecil, saya selalu rasa seronoknya kalau ayah ada bersama atau saya harap ayah ada di sini.

“Jadi, bila diri sendiri melalui fasa perceraian, saya pastikan anak-anak tidak menghadapi situasi sama.

“Tidak dinafikan ketika tempoh awal, Noah ada pertikaikan mengapa kami perlu bercerai dan tinggal berasingan. Kemudian, bila Eissa berumur sama seperti Noah, dia juga mempersoalkan perkara sama.

“Justeru, saya sentiasa jelaskan dan beri sokongan kepada mereka. Bila mereka kata rindu daddy atau harap ayahnya ada bersama, saya akan bawa berjumpa Shahrin.

Artikel Berkaitan:

“Begitu juga kalau berkumpul untuk majlis tertentu, walau di sebelah keluarga Shahrin, saya akan tetap sertai supaya mereka merasai nilai kekeluargaan itu,“ jelasnya.

Yasmin tidak melihat penceraian sebagai alasan untuk memusuhi bekas pasangan.
Yasmin tidak melihat penceraian sebagai alasan untuk memusuhi bekas pasangan.

Yasmin berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri Riang Ria Raya Jangan Pandang Belakang 2 di sebuah hotel di Bukit Jalil baru-baru ini.

Tambah wanita berusia 45 tahun itu, yang paling penting bagi setiap pasangan yang sudah bercerai ialah tidak ego dan tidak memburukkan bekas pasangan di depan anak-anak serta mencanang keburukan di media sosial.

“Jangan menidakkan hak anak-anak. Pada penghujungnya nanti, kasihan pada anak-anak. Mereka yang akan menerima tempias daripada masalah dan dendam kita,“ katanya.

Bukan hanya sekadar mengekalkan hubungan baik, Yasmin berkata, dia masih lagi selesa untuk meluangkan masa mengunjungi keluarga bekas mentua pada hari pertama lebaran.

Malah akui Yasmin, dirinya masih berhubung dengan bekas ibu mentua setiap hari.

“Selepas bercerai, saya ubah tradisi hari pertama Aidilfitri termasuk meluangkan masa berhari raya bersama keluarga bekas mentua.

“Kemudian, saya bawa ibu menziarahi sanak-saudara. Disebabkan saya dan Shahrin tinggal berdekatan, jadi menjelang tengah hari, hari pertama Hari Raya Aidilfitri, saya sudah selesai mengunjungi kedua-dua belah keluarga,“ katanya yang bergilir-gilir menguruskan persekolahan anak-anak bersama bekas suami.

Enggan terburu-buru

Sementara itu, ditanya mengenai hubungannya dengan pelakon, Alif Hadi, 35, bintang She Was Pretty itu enggan terburu-buru untuk kembali berumah tangga.

Jelas Ysmin lagi, pada masa dan ketika ini, keutamaannya terletak kepada kewangan serta keluarga.

“Sekarang ini fokus saya adalah untuk tenang dan kekal gembira kerana tekanan itu datang dalam pelbagai rupa.

“Sesiapa yang mahu bersama saya sebagai suami perlulah boleh menanggung saya walaupun perbelanjaan saya tidaklah terlalu tinggi.

“Paling penting untuk saya adalah kewangan dan keluarga, kalau yang itu adalah bonus,“ ujarnya.

Masih selesa berkawan rapat dengan Alif Hadi, Yasmin enggan terburu-buru apabila ditanya soal perkahwinan.
Masih selesa berkawan rapat dengan Alif Hadi, Yasmin enggan terburu-buru apabila ditanya soal perkahwinan.

Berkongsi perkembangan terbaharu, Yasmin kini dalam proses persiapan untuk memasuki set penggambaran sebuah filem yang juga sekuel kepada filem popular pada tahun 2008.

Bagaimanapun setakat ini, anak kelahiran Rawang itu lebih selesa merahsiakan judul filem berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!