Sarjan direman bantu siasatan satu lagi kes rogol

Anggota polis dibawa keluar dari lokap selepas selesai proses permohonan reman di Mahkamah Majistret Batu Gajah pada Jumaat.
Anggota polis dibawa keluar dari lokap selepas selesai proses permohonan reman di Mahkamah Majistret Batu Gajah pada Jumaat.
A
A
A

BATU GAJAH - Anggota polis berpangkat sarjan yang sebelum ini ditahan selepas disyaki merogol seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat sekali lagi direman di Mahkamah Majistret Batu Gajah pada Jumaat.

Hakim Juraidah Abbas membenarkan permohonan reman selama satu hari terhadap lelaki berusia 42 tahun itu bagi membantu siasatan terhadap satu lagi kes rogol.

Reman tersebut bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek yang memakai baju gelap dan berpelitup muka tiba di pekarangan mahkamah sekitar jam 8.30 pagi sebelum keluar dua jam kemudian dengan menaiki van polis.

Sementara itu, peguam Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid ketika ditemui pemberita memaklumkan tempoh itu diberikan berikutan anak guamnya telah memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan yang dijalankan polis.

Pada 28 Januari lalu, anggota polis yang bertugas sebagai timbalan ketua balai itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah dan direman sehingga Khamis.

Sinar Harian melaporkan, seorang pelajar berusia 16 tahun mendakwa dirinya dirogol anggota polis berpangkat sarjan di kawasan parkir di sebuah pasar raya di daerah Perak Tengah.

Difahamkan, suspek melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap mangsa sebanyak dua kali iaitu pada Julai dan Oktober 2023.

Artikel Berkaitan: