X

Kindly register in order to view this article
!

The Red Devils harus lebih konsisten

Maguire (kiri) menggesa barisan pemain United bangkit menampilkan rentak lebih konsisten dalam setiap aksi EPL musim ini.
A
A

MANCHESTER United perlu lebih konsisten melakar kemenangan sekiranya berhajat mengakhiri saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam kedudukan empat terbaik musim ini.

Tonggak pertahanan The Red Devils, Harry Maguire berkata, konsisten adalah masalah utama yang dihadapi pasukan itu dalam mengharungi saingan EPL musim ini.

Menurutnya, momentum kemenangan ke atas Norwich City pada aksi terakhir liga sebelum ini perlu diteruskan bagi membuka peluang mereka menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik.

“Percaya atau tidak, masalah utama yang kami hadapi adalah untuk mengekalkan tahap konsistensi dalam setiap perlawanan. Kami bermain bagus pada dua perlawanan, kemudian bermain teruk dalam satu lagi perlawanan.

“Situasi ini kurang positif kepada kami untuk mencabar kedudukan empat terbaik liga. Kami sepatutnya tampil dengan konsisten dalam setiap perlawanan,” katanya.

Ketika ini, The Red Devils menghuni tangga kelima liga dengan mengumpulkan 34 mata daripada 22 perlawanan - ketinggalan lima mata di belakang pasukan di tangga keempat, Chelsea.

Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu dilihat menampilkan prestasi tidak menentu sejak awal musim apabila merekodkan sembilan kemenangan, tujuh seri dan enam kekalahan.

Sebagai rekod, antara enam kekalahan yang dialami United adalah ketika menentang kelab kerdil - Crystal Palace, West Ham United, Newcastle United, Bournemouth dan Watford.

Sebaliknya, The Red Devils lebih menyerlah dengan menewaskan kelab gergasi seperti Manchester City, Chelsea, Tottenham Hotspur, Leicester City dan menjadi satu-satunya kelab yang berjaya mengikat Liverpool dengan keputusan seri.

Dalam pada itu, Maguire berkata, United harus mengekalkan rentak konsisten menjelang pertemuan menentang Wolverhampton Wanderers pada aksi ulangan pusingan ketiga Piala FA di Old Trafford awal pagi esok.

“Selain misi dalam EPL, kami juga masih dalam persaingan memburu Piala FA musim ini. Jadi kami harus mengekalkan konsistensi jika mahu menjulang trofi.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, jika kami berjaya mendapatkan kemenangan berterusan, kami memiliki peluang besar (menduduki kedudukan empat terbaik EPL),” katannya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!