Fadhlina dicabar bermalam di rumah panjang - Puad Zarkashi

Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mencabar Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk bermalam di rumah panjang atau kawasan pedalaman untuk merasai sendiri kepayahan pelajar mendapat pendidikan di sana.

Cabaran itu dibuat bekas Timbalan Menteri Pendidikan susulan laporan Bank Dunia yang menyatakan hanya 58 peratus pelajar di Malaysia mahir membaca pada usia lima tahun.

Mohd Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata, laporan itu mendedahkan kepincangan sistem pendidikan negara yang ketinggalan berbanding negara serantau seperti Vietnam.

"Kalau ikut logik macam tidak logik. Bajet pendidikan setiap tahun amat tinggi. Kita juga telah merombak dasar pendidikan beberapa kali.

"Tidak boleh dinafikan Kementerian Pendidikan (KPM) ramai pakar yang berkelayakan tinggi. Di mana silapnya?

"Sebenarnya Bank Dunia telah beri jawapan konkrit kenapa ia berlaku. Maka KPM patut fokus terhadap punca berkenaan dan mencari cara lebih efektif untuk mengatasinya.

"Antaranya akses terhad kepada pendidikan pra sekolah berkualiti khususnya di kawasan pedalaman. Masih ramai anak anak pedalaman tidak masuk pra sekolah," katanya dalam muat naik di akaun Facebook.

Katanya, masalah paling rumit ialah sekolah terlalu jauh di kawasan pedalaman. Ada yang berjalan kaki dan naik bot untuk ke sekolah. Maka mereka perlu tinggal di asrama desa kalau mahu ke sekolah.

Artikel Berkaitan:

"Masalahnya bagaimana murid pra sekolah mahu tinggal di asrama? Umur pra sekolah tidak sesuai tinggal di asrama. Apa lagi kalau masih guna kain lampin atau lampin pakai buang.

"Itu puncanya ramai yang tidak dapat belajar di pra sekolah. Tidak mungkin mereka berulang alik jalan kaki atau naik bot untuk ke pra sekolah. Ia membabitkan kos diesel," katanya.

Mohd Puad berkata, walaupun KPM mempunyai pra sekolah di rumah panjang, tetapi tidak semua rumah panjang memiliki pra sekolah, apatah lagi tidak semua guru pra sekolah sanggup tinggal di rumah panjang.

Katanya, ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan korporat mendirikan ‘Rumah Arau’ berdekatan sekolah yang mana tempat ibu bapa dan murid pra sekolah tinggal bersama.

"Hujung minggu mereka balik rumah panjang untuk bertemu suami dan ambil barang bekalan memasak seperti beras.

"Namun berapa banyak Rumah Arau dibangunkan? Justeru ramai anak anak di pedalaman tidak masuk pra sekolah. Ia penyumbang besar 42 peratus tidak mahir membaca usia lima tahun.

"Kepada Menteri Pendidikan sudilah bermalam di rumah panjang atau kawasan pedalaman. Saya cabar. Jangan jadi menteri malas," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!