3,038 sekolah kurang murid di negara ini

Kah Woh (empat dari kiri) turut menyampaikan peruntukan RM50,000 kepada SJKT Ladang Sungai Samak di sini sempena lawatan kerja ke beberapa buah sekolah di kawasan Parlimen Teluk Intan pada Isnin.
Kah Woh (empat dari kiri) turut menyampaikan peruntukan RM50,000 kepada SJKT Ladang Sungai Samak di sini sempena lawatan kerja ke beberapa buah sekolah di kawasan Parlimen Teluk Intan pada Isnin.
A
A
A

TELUK INTAN - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan tiada sekolah kurang murid (SKM) yang ditutup pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, ketika ini sebanyak 3,038 buah sekolah di negara ini yang dikategorikan sebagai SKM kerana mempunyai kurang daripada 150 orang murid.

Menurutnya, daripada jumlah itu, di Perak terdapat 419 buah sekolah yang berada dalam kategori berkenaan dan kesemua sekolah tersebut tetap menerima peruntukan sama seperti sekolah-sekolah lain.

"Bagi pihak KPM, walaupun sekolah-sekolah terbabit diklasifikasikan sebagai sekolah kurang murid, tapi perhatian akan terus diberikan kepada sekolah-sekolah berkenaan.

"Sebagai contoh di negeri Perak, pihak JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) pada tahun ini telah memberikan peruntukan sebanyak RM38,000 kepada semua sekolah kerajaan tanpa mengira bilangan muridnya.

"Ini membuktikan bahawa pihak JPN dan KPM memang memberikan perhatian dan pertimbangan sama rata kepada kesemua sekolah," katanya kepada pemberita di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sungai Samak di sini sempena lawatan kerja ke beberapa buah sekolah di kawasan Parlimen Teluk Intan pada Isnin.

Hadir sama pada lawatan itu, Exco Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Woo Kah Leong dan Pengarah Pendidikan Perak, Mohammad Fauzi Mahson.

Kah Woh berkata, bagi pengendalian kelas SKM berkenaan, KPM turut melaksanakan pendekatan kelas bercantum dengan menggabungkan murid Tahun Dua dengan Tahun Tiga dan Tahun Empat dengan Tahun Lima bagi sekolah yang mempunyai murid kurang daripada 30 orang.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bagi kelas Tahun Enam pula tidak terlibat dengan kelas bercantum itu.

Beliau berkata, pada tahun ini juga terdapat beberapa sekolah kategori SKM telah pun dipindahkan ke lokasi atau bangunan yang baharu seperti yang diumumkan di Parlimen oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebelum ini.

Sementara itu mengenai lawatan kerja ke enam buah sekolah di kawasan Parlimen Teluk Intan itu, Kah Woh berkata, ia dilaksanakan bagi melihat keperluan sekolah-sekolah khususnya di kawasan luar bandar.

Menurutnya, program lawatan kerja berkenaan akan dilaksanakan di kawasan Parlimen lain bagi tujuan yang sama sebagai membuktikan keprihatinan KPM terhadap warga sekolah.

Kah Woh berkata, enam sekolah yang dilawati itu turut menerima peruntukan RM50,000 bagi tujuan menambah baik kemudahan sedia ada serta untuk kerja-kerja penyelenggaran.

Enam sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan Ulu Bernam, Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Bernam, SJKT Ladang Sungai Samak, SJKT Ladang Ulu Bernam, SJKC San Min 1 dan SJKC San Min 2.