Individu, syarikat culas bayar cukai berdepan tindakan penggeledahan - LHDN

Abu Tariq
Abu Tariq
A
A
A

CYBERJAYA - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan mengambil tindakan penggeledahan terhadap mana-mana individu atau syarikat terutama taikun besar sekiranya sudah dikenal pasti culas membayar cukai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, pihaknya mempunyai kaedah dalam menentukan syarikat-syarikat yang culas membayar cukai berdasarkan kepada maklumat sedia ada.

“Kita akan sentiasa mengkaji dan semak maklumat yang diterima daripada pelbagai sumber seterusnya dianalisa bagi mengenal pasti kes yang akan diaudit atau disiasat.

“Sebenarnya ini merupakan tindakan yang berterusan, tetapi kita akan mempergiatkan lagi tahun ini untuk syarikat-syarikat yang culas daripada membayar cukai,” katanya ketika sidang akhbar selepas Sambutan Hari Raya Aidilfitri bertemakan Gema Lebaran Aidilfitri di Menara LHDN di sini pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan, LHDN perlu terus bersikap tegas dan berani dalam 'memburu' pembayar cukai yang culas tanpa mengira kedudukan dan pangkat termasuk dalam kalangan 'mahakaya' atau syarikat-syarikat gergasi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, agensi berkenaan tidak perlu takut untuk mengambil tindakan termasuk jika perlu menggeledah ke atas mereka yang tidak membayar cukai.

Tambah Abu Tariq, keperluan untuk menggunakan kuasa bagi melakukan penggeledahan memang akan dilaksanakan mengikut undang-undang.

Menurutnya, penggeledahan itu bagi kes yang sudah dikenal pasti sahaja, namun untuk kes yang risiko rendah, kaedah perauditan sahaja akan dilakukan.

Artikel Berkaitan:

“Kes yang lebih serius ini apabila LHDN menguatkuasakan aktiviti siasatan, maka ia akan melibatkan kemungkinan geledah ini berlaku,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!