37,705 CCTV dipasang di premis swasta sejak 2012

Zainal Abidin. Foto: Bernama
Zainal Abidin. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 37,705 unit kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di 3,226 buah premis swasta sejak tahun 2012 sehingga tahun lalu bagi menangani jenayah.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, ia merupakan sebahagian daripada program Polis Diraja Malaysia (PDRM) Safe Cam Partnership sebagai tanggungjawab sosial dalam usaha bersama memerangi jenayah.

Menurutnya, program tersebut menggalakkan syarikat swasta atau mana-mana persatuan memasang CCTV di premis masing-masing bagi memudahkan perkongsian rakaman dengan pihak PDRM sekiranya diperlukan bagi tujuan kajian dan siasatan.

"Dengan pelaksanaan dan pemasangan CCTV, video yang diperoleh itu boleh menjadi sebahagian daripada analisa dan projek bagi pencegahan jenayah.

"Sambutan terhadap program itu amat baik di mana 37,705 CCTV satu jumlah yang besar. Bagaimanapun, kita berharap CCTV yang dipasang memenuhi kriteria ditetapkan supaya video dan gambar membabitkan insiden jenayah yang diberikan kepada polis dapat dilihat secara jelas bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Dokumen Kerjasama Tanggungjawab Sosial Korporat Federation Of Malaysian Manufactures (FMM), Lions Clubs International, Petron, Shell, BHP, Petronas dan Caltex kepada PDRM serta Pelancaran Pelekat Baharu Go To Safety Point (GTSP) dan PDRM Safe Cam Partnership di Maktab PDRM di sini hari ini.

Zainal Abidin (depan dari kiri) menerima dokumen yang telah ditandatangani dari Thian Lai (depan dari kanan) pada Majlis Menandatangani Dokumen Kerjasama Tanggungjawab Sosial Korporat di Maktab PDRM hari ini. Foto: Bernama
Zainal Abidin (depan dari kiri) menerima dokumen yang telah ditandatangani dari Thian Lai (depan dari kanan) pada Majlis Menandatangani Dokumen Kerjasama Tanggungjawab Sosial Korporat di Maktab PDRM hari ini. Foto: Bernama

Dalam pada itu JPJKK juga mengambil langkah inisiatif dalam langkah pencegahan jenayah iaitu dengan pendekatan melibatkan peranan agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Artikel Berkaitan:

Katanya, ini dapat dilihat menerusi program GTSP daripada lima stesen minyak iaitu Petron, Shell, BHP, Petronas dan Caltex dengan jumlah keseluruhan stesen minyak yang terlibat sebanyak 2,918 buah daripada 3,485 buah di seluruh negara.

"Tujuan utama GTSP adalah mewujudkan satu tempat kepada orang ramai untuk mendapatkan bantuan awal semasa berlakunya kecemasan," katanya.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata, indeks jenayah menurun sebanyak 7.5 peratus di seluruh negara pada tahun lalu berbanding 2018.

“Antara kes difokus ialah kecurian kenderaan dan motosikal yang menjadi penyumbang utama kepada indeks itu. PDRM juga dalam usaha bagi membendung jenayah kekerasan dengan turun padang ke sekolah, universiti dan kolej bagi memberi kesedaran mengenai kegiatan jenayah terbabit," katanya.