Thailand: Enam muka baharu sertai kabinet Srettha

Srettha Thavisin
Srettha Thavisin
A
A
A

BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin melantik enam menteri kabinet baharu, termasuk bekas Pengerusi Bursa Saham Thailand, Pichai Chunhavajira, selaku Menteri Kewangan dalam satu rombakan kabinet yang diumumkan pada Ahad.

Dalam rombakan kabinet sulungnya sejak kerajaan pimpinan Srettha mengambil alih pentadbiran Thailand September tahun lepas, empat menteri termasuk Menteri Kesihatan Awam, Cholnan Srikaew; bekas ketua parti, Pheu Thai dan tokoh utama dalam rundingan pembentukan kerajaan campuran yang memerintah sekarang, dikeluarkan daripada kabinet.

Menurut Dekri Diraja yang dikeluarkan hari ini, rombakan kabinet menyaksikan Srettha hanya mengekalkan jawatan Perdana Menterinya. Pichai yang mengambil alih jawatan Menteri Kewangan daripada Srettha juga dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Selain daripada Pichai, muka-muka baharu dalam kabinet Srettha kali ini ialah dua Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Pichit Chuenban dan Jiraporn Sindhuprai; Timbalan Menteri Kewangan, Paopoom Rajanasakul; Timbalan Menteri Perdagangan, Suchart Chomklin dan Timbalan Menteri Pertanian, Atthakorn Sirilatthayakorn.

Empat menteri yang tidak tersenarai dalam rombakan kabinet kali ini ialah Cholnan, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Puangpetch Chunlaiad serta dua Timbalan Menteri Pertanian, Chaiya Promma dan Anucha Nakasai.

Sementara itu, Menteri Luar, Parnpree Bahiddha-Nukara mengekalkan portfolionya tetapi tidak lagi sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Jawatan itu telah diambil oleh Menteri Pengangkutan, Suriya Juangroongruangkit.

Media tempatan melaporkan bahawa Parnpree telah menghantar surat peletakan jawatannya berkuat kuasa hari ini berikutan pengumuman rombakan kabinet yang menyaksikan beliau tidak lagi menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Parnpree menyatakan dalam surat peletakan jawatan itu bahawa hakikat beliau tidak lagi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada masa ini tidak ada kaitan dengan prestasi perkhidmatannya dan peletakan jawatannya hari ini ialah bagi memberi laluan kepada yang lain untuk mengisi kekosongan jawatan itu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!