Remaja maut bertembung dengan kenderaan polis

Remuk.. keadaan motosikal mangsa selepas terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan polis di Jalan Jalan Gangsa-Kesang Durian Tunggal, di sini, awal pagi Rabu.
Remuk.. keadaan motosikal mangsa selepas terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan polis di Jalan Jalan Gangsa-Kesang Durian Tunggal, di sini, awal pagi Rabu.
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang penunggang motosikal yang bekerja di kilang perabot disahkan meninggal dunia setelah bertarung nyawa selepas terbabit kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda (4x4) polis di Jalan Gangsa-Kesang Durian Tunggal, di sini, awal pagi Rabu.

Kejadian jam 2.56 pagi itu menyebabkan mangsa, Mohammad Khairul Basahri, 18, yang menerima rawatan di zon merah Hospital Melaka cedera parah di bahagian kaki dan badan disahkan meninggal dunia pada 12.37 pagi Khamis akibat kecederaan dalaman.

Insiden yang tular dalam keadaan umat Islam sedang sibuk membuat persiapan bagi menyambut Aidilfitri itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka akibat kecederaan dalaman yang serius selain patah kaki dan paha.

Menurutnya, siasatan mendapati kenderaan polis yang dipandu oleh anggota dari Balai Polis Durian Tinggal telah ke lokasi kejadian setelah menerima aduan awam berkaitan bunyi bising serta terdapat aktiviti lumba haram di kawasan itu.

Katanya, kenderaan dipandu anggota berusia 37 tahun telah menyalakan lampu mata arah serta membunyikan siren amaran.

"Menyedari kehadiran polis, kesemua individu yang sedang berkumpul di tepi jalan tersebut telah bertindak melarikan diri dengan menggunakan motosikal masing-masing.

"Ketika kenderaan polis sedang cuba membelok ke arah kanan jalan, sebuah motosikal ditunggang mangsa dari arah bertentangan telah melanggar kenderaan polis berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, pihaknya akan meneruskan siasatan secara telus dan profesional malah meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian dapat tampil atau menghubungi Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah di talian 06-5563222 untuk membantu siasatan.

"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya lagi.

Sejak Rabu, tular beberapa rakaman klip video berkaitan kejadian itu termasuk mangsa tercampak dan terjatuh selepas motosikalnya terbabit kemalangan dengan kenderaan polis.

Malah sebuah video berdurasi 40 saat turut memaparkan beberapa individu memarahi seorang lelaki dipercayai anggota polis yang terbabit dalam kejadian itu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28