Tarikan bunga gergasi di Lata Jarum

Shahiruddin (depan) teruja melihat bunga rafflesia yang sedang berkembang di Lata Jarum.
Shahiruddin (depan) teruja melihat bunga rafflesia yang sedang berkembang di Lata Jarum.
A
A
A

RAUB - Kawasan tumbuhan pakma atau rafflesia di Lata Jarum, Ulu Dong di sini menjadi tarikan pelancong tempatan dan luar yang mahu menyaksikan sendiri bunga terbesar di dunia itu.

Ratusan pengunjung tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri puluhan kudup atau tunas bunga rafflesia yang tumbuh mekar di lata itu sambil menikmati panorama di taman eko rimba tersebut sejak awal tahun ini.

Pengawas Hutan Raub, Zainudin Mahmud, berkata, bunga gergasi tersebut mengambil tempoh sehingga sembilan bulan untuk kembang dan setakat ini terdapat hampir 40 kudup bunga manakala satu yang masih berkembang.

"Hampir 300 pengunjung datang berkunjung menyaksikan bunga gergasi ini setakat minggu ini dan kita menyasarkan kehadiran 2,000 pengunjung tahun ini.

"Kita mengambil pendekatan mengawal jumlah kehadiran supaya ia tidak menjejaskan flora dan fauna di lokasi ini," katanya.

Antara kudup bunga terbabit yang terdapat di lokasi tersebut.
Antara kudup bunga terbabit yang terdapat di lokasi tersebut.

Beliau berkata demikian pada sesi lawatan media bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin, kakitangan Pejabat Perhutanan Raub, Pejabat Daerah Raub.

Artikel Berkaitan:

Lawatan yang mengambil masa hampir satu jam pergi dan turun sejauh 1.5km itu turut disertai barisan pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Raub.

Sementara itu Shahiruddin berkata, pihaknya akan menghantar satu kertas kerja kepada kerajaan negeri dan permohonan khas supaya usaha mempromosikan kawasan rekreasi itu turut mendapat perhatian Kementerian Pelancongan.

Bunga rafflesia di Lata Jarum.
Bunga rafflesia di Lata Jarum.

"Ia bakal menjadi lonjakan ekonomi untuk penduduk setempat dan dalam masa sama, masyarakat diminta menjaga kebersihan di lokasi terbabit dalam usaha menarik kehadiran lebih ramai pengunjung ke sini," katanya.

Dalam pada itu bagi Naib Yang Dipertua 1, MPP UiTM Raub,Mohamad Amir Ikhwan, teruja kerana pertama kali dapat melihat rafflesia.

"Saya berharap tarikan yang ada di sini dipelihara dan kekal tumbuh dan berkembang sampai bila-bila di sini," kata penuntut jurusan Diploma Pentadbiran Awam itu lagi.