Komander Muhammad Firdaus selamat dikebumikan

Jenazah Muhammad Firdaus selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Sungai Nibong Besar selepas solat Maghrib pada Rabu.
Jenazah Muhammad Firdaus selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Sungai Nibong Besar selepas solat Maghrib pada Rabu.
A
A
A

GEORGE TOWN - Jenazah Komander Muhammad Firdaus Ramli, 44, mangsa tragedi helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas pada Selasa, selamat dikebumikan di kampung halamannya di Sungai Nibong di sini pada Rabu.

Kenderaan membawa jenazah Allahyarham tiba dari Kem Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja, Ipoh kira-kira jam 7.41 malam.

Urusan pengebumian jenazah Muhammad Firdaus dijalankan dengan penuh istiadat ketenteraan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Sungai Nibong Besar selepas solat Maghrib.

Kira-kira 1,000 orang termasuk pegawai dan anggota pasukan tentera serta penduduk di negeri ini turut sama menunaikan solat jenazah yang diimamkan Imam Harun Mahyudin.

Keranda jenazah Allahyarham yang dibalut Jalur Gemilang kemudian diiringi melalui istiadat kawalan jenazah ke tanah perkuburan oleh pegawai penghormatan tentera.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan yang dihadiri isteri Allahyarham, Soffiyah Saadon, 42, dan anak tunggal mereka, Muhammad Anas, 4, serta ahli keluarganya.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir Panglima TLDM, Tan Sri Abdul Rahman Ayub, Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Azhan Md Othman serta Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Fahmi Zainol dan Lim Siew Kim.

Laskar Kanan PAP, Khairul Anuar Ismail kemudian menyampaikan bendera Jalur Gemilang kepada waris Allahyarham pada penghujung istiadat pengebumian itu.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Firdaus antara 10 anggota dan pegawai TLDM yang maut dalam tragedi dua helikopter terhempas pada jam 9.32 pagi pada Selasa ketika menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun Hari Terbuka TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!