Najib tidak disoal sama ada beliau arahkan transaksi AS$700 juta - Saksi

Najib (tengah) hadir bagi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MBD) di Mahkamah Tinggi, pada Rabu. Foto Bernama
Najib (tengah) hadir bagi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MBD) di Mahkamah Tinggi, pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang saksi memaklumkan Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa beliau tidak menyoal jika Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memindahkan AS$700 juta daripada syarikat itu kepada Good Star Limited yang dimiliki ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low.

Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penguasa Kanan Nur Aida Arifin, 37, berkata, ini kerana beliau berpendapat soalan mengenai transaksi tersebut tidak penting untuk diajukan kepada bekas Perdana Menteri itu, bagaimanapun memaklumkan beliau ada bertanyakan perkara itu kepada Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Saksi itu berkata demikian ketika disoal oleh peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin berhubung transaksi yang dilakukan pada September 2009.

Wan Azwan: Adakah anda bertanya kepada Najib sama ada arahan untuk memindahkan 70 peratus daripada jumlah pelaburan AS$1 bilion itu datangnya daripada beliau?

"Saya hanya bertanya kepada Shahrol Azral. Saya tidak bertanya kepada Najib. Saya rasa tak penting," katanya.

Nur Aida, yang tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa Shahrol Azral adalah 'alter ego' Jho Low, berkata Shahrol Azral percaya bahawa setiap arahan Jho Low adalah daripada Najib.

Saksi pendakwaan ke-49 itu juga mengakui bahawa Najib tidak mengarahkan Shahrol Azral dan bekas Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan syarikat itu Casey Tang Keng Chee untuk menyembunyikannya (transaksi AS$700 juta) daripada pengetahuan lembaga pengarah.

Pada 2022, bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah memberi keterangan bahawa Najib hanya mendiamkan diri, relaks dan tidak memberikan sebarang reaksi atau mengambil sebarang tindakan berhubung transaksi AS$700 juta itu.

Artikel Berkaitan:

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!