Jenazah kru TLDM dibawa keluar dari hospital untuk dikebumikan

Proses membawa keluar jenazah dari Jabatan Forensik HRPB Ipoh dilakukan satu persatu menggunakan 10 kenderaan milik TLDM dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bermula jam 4.35 petang diiringi polis.
Proses membawa keluar jenazah dari Jabatan Forensik HRPB Ipoh dilakukan satu persatu menggunakan 10 kenderaan milik TLDM dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bermula jam 4.35 petang diiringi polis.
A
A
A

IPOH - Jenazah 10 pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam nahas helikopter terhempas di Lumut telah dibawa keluar dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Proses membawa keluar jenazah dilakukan satu persatu menggunakan 10 kenderaan milik TLDM dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bermula jam 4.35 petang diiringi polis.

Proses bedah siasat yang dijalankan di hospital berkenaan selesai sepenuhnya pada jam 2.20 petang diikuti proses mandi dan kafan.

Suasana pilu menyelubungi sebaik kenderaan jenazah meninggalkan pekarangan hospital.

Sebahagian ahli keluarga dan waris telah meninggal hospital lebih awal bagi proses pengebumian di kawasan masing-masing.

Jenazah lapan daripada 10 kru TLDM itu dibawa ke Kem Batalion 23 Rejimen Askar Melayu Diraja di Jalan Tambun, di sini untuk solat jenazah.

Kesemua jenazah disembahyangkan di Surau Salahuddin Al Ayubi kem berkenaan sebelum dibawa ke kampung halaman masing-masing bagi proses pengebumian.

Dua lagi mayat, Leftenan T Sivasutan dihantar terus ke kediaman keluarganya di Sitiawan manakala Laskar Kanan Joanna Felicia anak Rohna dibawa ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh.

Artikel Berkaitan:

Mendiang Joanna Felicia akan diterbangkan ke Serian, Sarawak menggunakan Pesawat C-130 Hercules milik TUDM dijadualkan jam 6 petang ini.

Penghormatan terakhir buat semua wira TLDM yang terkorban dalam nahas itu akan dilaksanakan mengikut istiadat ketenteraan tradisi tentera laut di lokasi pengebumian masing-masing.

Jenazah Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Zainal Abidin dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Kuala Lumpur manakala Leftenan Komander Amirulfaris Mohamad Marzukhi di Tanah Perkuburan Islam Senawang, Negeri Sembilan.

Jenazah Komander Muhammad Firdaus Ramli di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Sungai Nibong, Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Komander Muhamad Amir Mohamad dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felcra Bukit Kepong, Johor.

Jenazah Pegawai Waran II, Mohd Shahrizan Mohd Termizi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Lekir, Perak manakala Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun di Tanah Perkuburan Masjid Al- Muhtadin, Sik Dalam, Kedah.

Anggota wanita, Pegawai Waran II Norfarahimi Saedy dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ulu Nor, Rantau Panjang Selama, Perak manakala Bintara Muda Nor Rahiza Anuar di Tanah Perkuburan Masjid Haji Nyak Gam Kampung Ruat, Yan, Kedah.

Dalam insiden pada jam 9.32 pagi pada Selasa itu, dua helikopter iaitu Pesawat HOM (M503-3) membawa empat kru dan tiga penumpang dan Pesawat Fennec dinaiki tiga kru terhempas selepas bergesel di udara di Pangkalan TLDM Lumut.

Kejadian itu mengorbankan semua mangsa yang ketika itu sedang menjalani raptai perbarisan Sambutan Hari TLDM ke-90 yang berlangsung Sabtu ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!