PRK KKB: Pegawai, anggota polis Selangor bertugas pastikan kelancaran

Datuk Sasikala Devi Subramaniam. Foto: Bernama
Datuk Sasikala Devi Subramaniam. Foto: Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 642 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi memastikan kelancaran Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, bermula Sabtu ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, selain ditugaskan di lokasi tumpuan seperti pusat mengundi, menjaga saluran, pusat penjumlahan undi serta melaksanakan kawalan keselamatan tumpuan utama penugasan adalah pada hari penamaan calon dan pengundian bagi PRK berkenaan.

"Polis Selangor telah bersiap siaga untuk memastikan kelancaran sepanjang tempoh PRK ini dan memberi jaminan keadaan keselamatan sentiasa ditahap terbaik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor di sini pada Rabu.

Beliau berkata, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Ahmad Faizal Tahrim akan mengadakan taklimat kepada wakil-wakil parti yang akan bertanding dalam PRK berkenaan dalam tempoh terdekat bagi menjelaskan berkenaan perkara yang perlu dipatuhi sepanjang berkempen.

Menurut Sasikala Devi isu berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R) serta permohonan permit berkempen antara perkara yang akan disentuh pada sesi taklimat berkenaan.

Sasikala Devi berkata, sebanyak 625 pegawai dan anggota polis serta 238 anggota dan pegawai tentera akan mengundi awal pada 7 Mei ini.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan berikutan kematian Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Mei sebagai hari pengundian dan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon.

Artikel Berkaitan:

PRK DUN Kuala Kubu Baharu adalah PRK ketujuh selepas PRU15 dengan enam daripadanya dilaksanakan tahun lepas iaitu Parlimen Kuala Terengganu (Ogos), Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram (September), DUN Pelangai (Oktober), DUN Jepak (November) dan Parlimen Kemaman (Disember). - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!