Helikopter TLDM terhempas: Tiga jenazah wanita selesai dibedah siasat

Dua kenderaan TLDM yang membawa keranda tiba di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini tiba jam 8.45 pagi tadi.
Dua kenderaan TLDM yang membawa keranda tiba di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini tiba jam 8.45 pagi tadi.
A
A
A

IPOH - Proses bedah siasat membabitkan tiga daripada 10 jenazah tragedi dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas di Pangkalan TLDM Lumut pada Selasa, selesai malam tadi.

Difahamkan ketiga-tiga jenazah yang telah selesai menjalani proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) itu merupakan anggota wanita yang terkorban.

Sementara itu proses bedah siasat tujuh mangsa lain pula diteruskan hari ini sehingga selesai sebelum jenazah dibawa ke Kem 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) untuk solat jenazah dan diberikan penghormatan terakhir sebelum dibawa ke lokasi pengebumian.

Terdahulu seawal jam 7 pagi, beberapa pegawai dan anggota tentera berada di pekarangan Jabatan Forensi HRPB diikuti dengan kehadiran beberap orang waris.

Kira-kira jam 8.45 pagi dua kenderaan TLDM membawa keranda turut kelihatan memasuki kawasan jabatan forensik tersebut.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan jenazah lapan daripada 10 pegawai dan anggota TLDM yang terkorban dalam nahas helikopter terhempas di Lumut akan dibawa ke Batalion 23 RAMD di Jalan Tambun di sini untuk disembahyangkan.

Semua jenazah akan dibawa sebaik proses bedah siasat selesai dijalankan di HRPB yang dijangka sekitar jam 2 petang pada Rabu.

Kelapan-lapan jenazah akan disembahyangkan di sana disusuli majlis penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi sebelum dibawa ke kampung halaman masing-masing bagi pengebumian.

Artikel Berkaitan:

Jenazah Pegawai Memerintah Skuadron 502, Komander Muhamad Amir Mohamad akan dikebumikan di Segamat, Johor, manakala Pegawai Memerintah Skuadron 503, Komander Muhammad Firdaus Ramli dikebumikan di Sungai Nibong, Pulau Pinang.

Pegawai Waran II, Mohd Shahrizan Mohd Termizi (Kuartermaster Udara Skuadron 502) dan Pegawai Waran II Norfarahimi Saedy (Depot Bekalan Armada Barat) masing-masing dikebumikan di Sitiawan dan Selama, Perak.

Jenazah Pegawai Taktikal Udara Skuadron 503, Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohd Marzukhi dikebumikan di Senawang, Negeri Sembilan dan Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Zainal Abidin dikebumikan di Rawang, Selangor.

Anggota wanita, Bintara Muda Nor Rahiza Anuar (Depot Bekalan Armada Barat) serta Kuartermaster Udara Skuadron 503, Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun dikebumikan di Yan dan Sik, Kedah.

Sementara itu, mendiang Leftenan T Sivasutan (juruterbang Skuadron 502) akan terus dibawa ke kediaman keluarganya di Sitiawan sebaik selesai bedah siasat manakala mayat Laskar Kanan Joanna Felicia anak Rohna akan diterbangkan ke Kuching, Sarawak.

Dalam insiden pada jam 9.32 pagi pada Selasa itu, dua helikopter iaitu Pesawat HOM (M503-3) membawa empat kru dan tiga penumpang dan Pesawat Fennec dinaiki tiga kru terhempas selepas bergesel di udara di Pangkalan TLDM Lumut.

Kejadian itu mengorbankan semua mangsa yang ketika itu sedang menjalani raptai perbarisan Sambutan Hari TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini.